PRN Johor: Siapa pilihan pengundi?

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebaik sahaja disahkan layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, calon-calon mula bergerak mendekati pengundi dalam misi menemui seberapa ramai yang boleh sebelum 11.59 malam 11 Mac ini.

Tempat tumpuan ramai seperti pasar, restoran dan warung makan sudah pasti menjadi tumpuan bagi beramah mesra dengan para pengundi sepanjang 14 hari tempoh berkempen.

Aktiviti ceramah, syarahan dan kempen secara fizikal dan ziarah rumah ke rumah yang dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan berpandukan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 tentunya akan dimanfaatkan sepenuhnya calon-calon bertanding.

Pimpinan tertinggi parti juga turun padang pada Ahad dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng antara yang berada di Batu Pahat dan Johor Bahru untuk memberikan sokongan kepada calon masing-masing.

Seramai 239 calon diumum layak bertanding pada PRN Johor melibatkan 202 calon lelaki dan 37 wanita selepas penamaan calon pada Sabtu.

Namun, sejauh manakah gerak kerja calon-calon ini dapat menambat hati pengundi, lebih-lebih lagi kepada parti yang pertama kali bertanding seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta Parti Warisan (Warisan) yang membuat penampilan sulung di Semenanjung Malaysia?

Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr Khairunesa Isa berpandangan masyarakat kini lebih matang dan realistik dalam memilih calon yang dirasakan boleh memimpin mereka.

"Rakyat akan memilih calon yang boleh mendekati mereka dan mampu bersama-sama mereka untuk meneruskan kehidupan terutama dalam fasa pemulihan negara, serta bagaimana calon itu faham dengan kehendak dan keperluan rakyat hari ini,” katanya dalam program Suara Johor yang disiarkan Bernama TV.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, meskipun terdapat calon tidak berpengalaman dalam bidang politik, namun mereka boleh menggunakan pengalaman dalam bidang profesional diceburi sebelum ini untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul di kawasan masing-masing.

Menurutnya, pada masa ini, pengundi bukan sekadar memilih calon yang pengalaman dan popular, namun melihat bagaimana mereka menggunakan kedua-dua aspek itu dalam membantu rakyat.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed pula berpendapat selain faktor calon, pengundi juga melihat kepada parti politik yang mampu mentadbir negeri dengan baik.

Menurutnya, ini menjadikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang berpengalaman luas dalam pentadbiran di Johor berada di kedudukan hadapan pada PRN Johor berbanding parti-parti lain.

Malah, katanya BN telah membuat perubahan dengan menampilkan calon yang memberikan refleksi kepada demografi pengundi susulan pendaftaran automatik Undi18 berbanding mengikut hierarki parti sebelum ini.

Bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, BN menampilkan lebih 80 peratus calon yang terdiri daripada mereka berusia 55 tahun ke bawah serta 72 peratus muka baharu.

SPR menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian PRN Johor dengan pengundian awal pada 8 Mac. - Bernama