Kerajaan teliti wujudkan 'duta endemik': Annuar

Annuar menyampaikan watikah Komuniti Keluarga Malaysia Zon Barat, pada Ahad. Foto Bernama
Annuar menyampaikan watikah Komuniti Keluarga Malaysia Zon Barat, pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

PONTIAN - Kerajaan sedang meneliti untuk mewujudkan pasukan ‘duta endemik’ Covid-19 iaitu kelompok sukarelawan yang dianggotai oleh pelbagai pihak termasuk ahli-ahli Komuniti Keluarga Malaysia di seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 dalam kalangan masyarakat dipatuhi bersesuaian dengan suasana fasa endemik nanti.

Beliau berkata, ini kerana pelaksanaan penguatkuasa Kementerian Kesihatan (KKM) dan undang-undang sahaja tidak memadai bagi memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat terjamin apabila negara beralih ke fasa tersebut.

"Fasa endemik bermakna virus (Covid-19) masih ada dalam kalangan kita tetapi kehidupan perlu kembali normal tetapi memerlukan penguatkuasaan atau kawalan kendiri yang sesuai dengan suasana hidup dengan Covid-19.

"Untuk itu, yang sangat diperlukan adalah penguatkuasaan kendiri oleh individu keluarga masyarakat dan ia sukar untuk dilaksanakan kalau tiada kalangan komuniti sendiri untuk mengingatkan (SOP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Watikah Komuniti Keluarga Peringkat Negeri Johor (Zon Barat) di Tanjung Piai, dekat sini, pada Ahad.

Annuar berkata, kelompok ‘duta endemik’ itu dijangka melibatkan syarikat berkaitan sektor penerbangan kerana mereka sentiasa berurusan dengan penumpang serta pelancong yang keluar masuk negara.

"Mereka (duta endemik) perlu proaktif mengingatkan penumpang atau pelancong tentang apa yang harus dilakukan sesuai dengan suasana endemik. Malah, pengesyoran terhadap kakitangan Pos Malaysia yang terlibat menghantar surat dan sebagainya juga boleh jadi anggota duta endemik.

"Lebih 30,000 Ahli Jawatankuasa Komuniti Keluarga Malaysia yang sememangnya berada di segenap negara ini juga perlu dilatih untuk memainkan peranan sebagai duta,” kata beliau yang menegaskan bahawa langkah itu selaras dengan slogan ‘Kita Jaga Kita’.

Cadangan untuk mewujudkan ‘duta endemik’ itu akan dikemukakan dalam Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 minggu depan, kata Annuar. - Bernama

Artikel Berkaitan: