Premis letak jentera berat disyaki curi air

Pegawai Span dan Sains membuat pemeriksaan penyambungan air yang dibuat secara tidak sah. - Foto ihsan Sains
Pegawai Span dan Sains membuat pemeriksaan penyambungan air yang dibuat secara tidak sah. - Foto ihsan Sains
A
A
A

JEMPOL - Sebuah premis yang dijadikan tempat letak jentera berat dan asrama pekerja di Bahau diserbu Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) kerana disyaki membuat penyambungan air secara haram.

Serbuan dilakukan pada Khamis jam 11.30 pagi itu diketuai pegawai Span daripada Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat, Muhammad Naqib Aniq Abdul Kahar dan Unit Penguatkuasaan Kecurian Air Sains.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Sains, Norzita Ismail berkata, siasatan dilakukan mendapati penghuni premis melakukan penyambungan tidak sah menggunakan paip getah bersaiz 9mm tanpa melalui sebarang meter untuk kegunaan penghuni premis berkenaan.

"Pegawai penguatkuasa SAINS turut menjalankan ujian klorin di lokasi terbabit dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik Sains.

"Pihak Span juga telah menyita semua pemasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti," katanya dalam kenyataan kepada media pada Jumaat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 89(9) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang mana jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sebanyak RM50,000.00 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Selain itu katanya, Sains akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan melibatkan pengguna komersil dan domestik.

Ujarnya, tindakan tegas ini merupakan salah satu langkah berterusan Sains dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil ataupun Non Revenue Water (NRW).

Artikel Berkaitan: