Ismail Sabri saksi MoU syarikat Malaysia, Bangkok

Ismail Sabri (tengah) ketika menyaksikan majlis MoU di antara Pharmaniaga Research Center Sdn Bhd diwakili Timbalan Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Mohamed Iqbal Abdul Rahman (kiri) dan Bio Innova Co Ltd diwakili Presiden Bio Innova Co., Ltd, Anichai Kittivoravitkul (dua, kanan) di sebuah hotel hari ini. -Foto Bernama
Ismail Sabri (tengah) ketika menyaksikan majlis MoU di antara Pharmaniaga Research Center Sdn Bhd diwakili Timbalan Pengarah Urusan Pharmaniaga Berhad, Mohamed Iqbal Abdul Rahman (kiri) dan Bio Innova Co Ltd diwakili Presiden Bio Innova Co., Ltd, Anichai Kittivoravitkul (dua, kanan) di sebuah hotel hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat farmaseutikal Malaysia dan rakan kongsi mereka dari Thailand bagi meningkatkan lagi pengeluaran dan inovasi industri tersebut.

MoU tersebut melibatkan antara anak syarikat milik penuh Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga), Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) dengan BioNet dan Pharmaniaga Research Centre Sdn Bhd (PRC) dengan Bio-Innova.

Pemeteraian seterusnya adalah perjanjian pengeluaran berlesen antara Covid Medicare Support Ins (CMSI) dan Acquest Laboratory.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pharmaniaga dalam satu kenyataan berkata, kumpulan itu meningkatkan usahanya untuk menjadi satu daripada pemain farmaseutikal utama di rantau ini dengan menjalin perkongsian dengan BioNet Group (BioNet) bagi pembangunan dan penyelidikan (R&D) dan Bio-Innova Co. Ltd. (Bio-Innova) untuk penyelesaian bioequivalence serta inovasi pembangunan produk farmaseutikal.

Menerusi pemeteraian MoU itu, ia berkata PLS dan BioNet akan berfungsi sebagai asas dalam membentuk rangka kerja untuk bertukar-tukar maklumat dan pengetahuan bagi memudahkan pendaftaran, pembuatan, pembekalan dan pemasaran pelbagai produk siap dan antigen pukal bagi produk biofarmaseutikal, terutamanya vaksin.

Sementara itu, PRC memeterai kerjasama strategik dengan Bio-Innova untuk meneroka peluang memanfaatkan kepakaran saintifik Bio-Innova dalam kajian bioavailability dan bioequivalence serta membina kapasiti dalam pembangunan produk.

Pengerusi Pharmaniaga, Datuk Seri Zainal Abidin Mohd Rafique berkata, perkongsian itu sejajar dengan perubahan landskap pasaran yang memerlukan pemain agar kekal kompetitif dan relevan.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu sentiasa berinovasi dan menambah baik kualiti, jadi kerjasama ini memainkan peranan penting untuk meningkatkan lagi dan merangsang industri farmaseutikal Malaysia serta membuka lebih banyak peluang,” katanya.

Pemeteraian perjanjian pembuatan antara CMSI dan Acquest Laboratory pula adalah untuk mengesahkan syarikat tersebut sebagai pengeluar produknya bagi pasaran Thailand.

Sementara itu, Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand (MTCC) untuk berkongsi pengalaman dan membincangkan isu-isu perniagaan di Thailland.

Turut hadir ialah Duta Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel dan Pengerusi MTCC Dr Hwee Khim Boo.

Sesi libat urus antara kerajaan dan Lembaga Pengarah MTCC dan ahli terpilih itu bertujuan untuk bertukar-tukar maklumat dan bertemu secara bersemuka bagi membincangkan perkara bermanfaat untuk pertumbuhan pemilihan perniagaan antara Malaysia dan Thailand.

Sesi itu juga memberikan pandangan bernilai mengenai dinamik perniagaan dan industri di Thailand yang berguna kepada negara untuk mewujudkan peluang perniagaan dan pelaburan di Malaysia. - Bernama