Jones dilantik Pengarah Prestasi Tinggi BAM

Dr Tim Jones
Dr Tim Jones
A
A
A

AHLI Fisiologi Kanan Institut Sukan Negara (ISN), Dr Tim Jones dan bekas pemain beregu wanita negara Lee Meng Yean, dilantik menyertai pasukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

BAM dalam satu kenyataan mengesahkan akan melantik Jones, 40, sebagai Pengarah Prestasi Tinggi, manakala Meng Yean, 27, untuk melatih pemain-pemain beregu wanita.

Jones yang telah bersama ISN sejak September 2017, merupakan ketua pasukan Olimpik untuk badminton di Olimpik Tokyo 2020, Julai tahun lepas.

Sebelum itu Jones merupakan ahli fisiologi dan sains sukan untuk pasukan pelayaran Britain selama lima tahun (2012-2015), dan pengajar teknikal di Universiti Brighton (2011-2012).

"Untuk tugas baharunya, Tim akan bertanggungjawab dalam perancangan prestasi strategik, memperkuatkan lagi asas yang sedia ada. Lantikan ini dilakukan bagi mengekalkan kecemerlangan di dalam gelanggang pada aras antarabangsa menerusi satu strategi yang terperinci,” menurut kenyataan tersebut pada Jumaat.

Sementara ketua pasukan Piala Uber 2020 Meng Yean, akan menyertai ketua jurulatih Hoon Thien How dalam memperkuatkan lagi jabatan beregu wanita.

"Berkaitan kejayaan di Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 baru-baru ini, BAM akan terus meneroka usaha untuk memperkukuhkan lagi jabatan teknikal bagi membuka potensi skuad muda di Akademi Badminton Malaysia (ABM),” menurut kenyataan BAM itu lagi.

Berdasarkan kepada ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Meng Yean bersama bekas pasangannya Chow Mei Kuan yang memenangi pingat gangsa di Sukan SEA 2019, masih beregu wanita negara dengan ranking tertinggi iaitu ke-11 di dunia.

Artikel Berkaitan:

Mei Kuan bersara selepas kekalahan peringkat kumpulan di Olimpik, manakala Meng Yean berhenti daripada pasukan kebangsaan hujung minggu lepas, selepas cuba berpasangan bersama beberapa pemain muda.