Bunuh: Mahkamah arah suri rumah dipantau di Hospital Permai

Tertuduh diiringi polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Seremban pada Jumaat.
Tertuduh diiringi polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Seremban pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Majistret Seremban pada Jumaat mengarahkan seorang suri rumah yang dituduh menikam mati suaminya pada 23 Januari lalu direman sebulan di Hospital Permai, Johor Bharu bagi tujuan pemerhatian psikiatri.

Majistret Norzaliza Tesmin membuat keputusan itu terhadap Lau Seck Yan, 55, selepas mendengar permohonan dan hujahan peguam yang mewakili tertuduh, Joshua Nga Koo Koy.

Menurut Koo Koy, anak guamnya memohon pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah kerana mempunyai sejarah bertindak agresif dan ganas yang boleh mendatangkan kecederaan terhadap ahli keluarga.

Tambah beliau, pihaknya juga sudah menghantar dua afidavit bagi menyokong hujah itu yang ditandatangani dua anak perempuan Seck Yan pada 22 dan 23 Februari lalu.

"Anak sulung tertuduh pernah membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan bapa dan adik beradik lain. Bapanya pernah memberitahu tidak tahan lagi tinggal dengan tertuduh kerana sering dipukul dan dicederakan.

"Anaknya juga mendakwa tertuduh mengalami skizofenia dan dia serta adik-beradik sudah beberapa kali memujuk ibu untuk mendapatkan rawatan di hospital tetapi tertuduh menolak," katanya ketika prosiding pada Jumaat.

Jelasnya, laporan itu juga dibuat kerana mahu tertuduh mendapatkan rawatan di hospital

Koo Koy turut memaklumkan, anak wanita berkenaan juga menemui satu 'nota bunuh diri' dalam bilik tertuduh beberapa hari lalu yang ditulis pada 25 Jun 2008 yang kandungannya meminta ahli keluarga tidak bersedih jika tertuduh meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

"Dalam nota itu tertuduh memberitahu, dia gelisah dan tidak tahu sebabnya serta berpesan supaya menjaga anak-anak dengan baik.

"Tertuduh turut meminta jangan sedih jika kehilangannya dan meminta maaf kerana berulang kali mencederakan mangsa dan menyakitkan hatinya," katanya.

Koo Koy berkata, walaupun tiada kenyataan membunuh diri, tetapi berdasarkan nota itu menunjukkan niatnya.

Keadaan itu katanya, menunjukkan anak guamnya mengalami masalah bipolar atau penyakit mental lain dan memerlukan rawatan.

Norzaliza kemudiannya mengarahkan tertuduh menjalani pemerhatian di fasiliti berkenaan selama sebulan dan sebutan semula kes pada 23 Mac depan bagi laporan kimia dan laporan psikiatri.

Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemukan maut di dapur rumah selepas dipercayai ditikam dua kali di bahagian dada dan pinggang menggunakan senjata tajam oleh isterinya.

Pasangan itu mempunyai empat anak dan ketika kejadian anak ketiga dan keempat merupakan saksi kejadian.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Seck Yan yang juga calon Bebas Pilihan Raya Kecil(PRK) Port Dickson pada tahun 2018 dituduh membunuh Poh Seng Hiap, 55, di sebuah rumah di Rasah Kemayan di sini antara jam 3.30 petang hingga 4.30 petang.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!