Imigresen tahan GRO di kelab malam eksklusif

Seramai 23 GRO warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan eksklusif di Mont Kiara.
Seramai 23 GRO warga asing ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan eksklusif di Mont Kiara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DI KEMAS KINI] Sebuah kelab malam eksklusif di tengah-tengah kawasan perumahan elit di Kuala Lumpur diserbu pasukan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) pada Khamis.

Premis di Mont Kiara itu dikatakan menjadi tumpuan lelaki tempatan mendapatkan layanan terutama daripada pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand untuk berpesta.

Ketika serbuan kira-kira jam 9.15 malam, segelintir pengunjung dan GRO terbabit enggan memberi kerjasama dan mempertikaikan tindakan penguat kuasa terbabit malah ada antara mereka menunjukkan isyarat lucah ke arah lensa Sinar Harian.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, seramai 23 GRO warga Vietnam, China dan Thailand ditahan selepas menjalankan risikan selama seminggu.

"Risikan dilakukan selepas menerima aduan daripada orang awam. Premis ini pernah diserbu kira-kira tiga tahun lalu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi operasi.

Beliau berkata, pemeriksaan turut dilakukan ke atas 23 wanita dan 25 lelaki warga tempatan dan kesemua mereka dibebaskan.

Tambah beliau, Imigresen turut menahan seorang lelaki dan wanita dipercayai penjaga premis, dua lelaki warga Bangladesh serta seorang lelaki Pakistan.

"Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 24 hingga 40 tahun ditahan dan akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1959/63 karena melakukan kesalahan tinggal lebih masa dan salah guna pas,"ujarnya.

Artikel Berkaitan: