Washington National Guard, ATM perluas kerjasama

Gent Welsh. Foto Washington Air National Guard
Gent Welsh. Foto Washington Air National Guard
A
A
A

KUALA LUMPUR - Washington National Guard dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperluaskan kerjasama di bawah program perkongsian antara dua negara.

Komander Washington Air National Guard Brigadier Jeneral Gent Welsh berkata, latihan bersama antara kedua-dua pihak disambung semula selepas ditangguhkan kira-kira dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata banyak usaha telah dilakukan semasa pandemik untuk mengekalkan penglibatan berterusan antara kedua-dua pihak termasuk melalui persidangan maya.

"Saya boleh katakan kita punya perancangan latihan selama lima tahun. Jadi kami komited untuk adakan semula latihan," katanya dalam sidang media di sini, Khamis.

Welsh yang dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia turut menyertai mesyuarat hibrid US-Malaysia Bilateral Training and Consultative Group (BITACG) selain bertemu beberapa pegawai ATM.

Beliau berkata latihan "Bersama Warrior”, yang diadakan di sini pada Mac 2020 tetapi terhenti separuh jalan akan disambung semula pada Jun.

Program perkongsian itu diwujudkan untuk berkongsi amalan terbaik dan kepakaran dalam pelbagai bidang.

Malaysia menandatangani perjanjian perkongsian itu pada 16 Ogos 2017 dan menjadi negara kedua di Asia Tenggara selepas Thailand yang menjalinkan kerjasama dengan Washington National Guard. - Bernama

Artikel Berkaitan: