MBSJ PBT pertama diiktiraf pengurusan kualiti patuh syariah

Sijil pengiktirafan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd bagi Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah (SPKBS) MS 1900:2014 kepada MBSJ pada 10 Jun 2019.
Sijil pengiktirafan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd bagi Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah (SPKBS) MS 1900:2014 kepada MBSJ pada 10 Jun 2019.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia menerima pengiktirafan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd bagi Pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah (SPKBS) MS 1900:2014 pada 10 Jun 2019.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Afzarizal Abdul Rashid berkata, ia bertujuan bagi memastikan pembangunan dokumentasi MBSJ mengikut prosedur yang ditetapkan.

Menurutnya, pensijilan tersebut bertujuan untuk memastikan pelaksanaan standard, pelaburan, kualiti, kewangan dan produktiviti dilaksanakan mengikut hukum syarak.

“Skop pensijilan tersebut meliputi sembilan aspek utama iaitu bayaran, belanjawan, akaun, pinjaman atau pembayaran, perolehan, kaunter, kumpulan wang amanah, pelaburan dan terimaan hasil serta bukan hasil.

“MBSJ melaksanakan pengasingan hasil patuh syariah dan hasil yang tidak patuh syariah dengan memastikan keseluruhan hasil majlis tidak patuh syariah kurang daripada lima peratus dan dilaporkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan.

“Hasil yang tidak patuh syariah akan dibelanjakan bagi perkara penyelenggaraan dan pembersihan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Afzarizal berkata, pihaknya turut mengguna pakai Skim Islamik bagi akaun MBSJ bermula Disember 2021 dan membuat pertukaran akaun gaji warga kerja MBSJ daripada CIMB Konvensional kepada CIMB Islamic pada Mac tahun 2020.

Ujarnya, pihak MBSJ memilih pelaburan berlandaskan syariah seperti Comodity Murabahah dan menyediakan perlindungan takaful bagi kemudahan perubatan pegawai serta kakitangan MBSJ.

Artikel Berkaitan:

“Semua inisiatif berkenaan dilaksanakan selaras dengan usaha ke arah pengurusan kualiti yang berasaskan penambahbaikan secara berterusan dari aspek pengurusan kewangan.

“Pihak MBSJ akan terus memastikan penyampaian perkhidmatan berada pada standard yang tinggi dan berkualiti, sekali gus memastikan sistem pengurusan kewangan dikawal mengikut hukum syarak,” katanya.