11 lagi rakyat Malaysia di Ukranie diberi perlindungan

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kiev, Ukraine kini berusaha memberikan perlindungan dan menyediakan tempat selamat untuk 11 lagi rakyat Malaysia yang berada di sana.

Menurutnya, usaha itu demi memastikan keselamatan rakyat Malaysia terlibat sebelum mereka dapat pulang ke Malaysia.

“Kerajaan dukacita dengan perkembangan yang berlaku di Ukraine. Keutamaan kerajaan pada masa ini adalah memastikan Keluarga Malaysia di Ukraine berada dalam keadaan selamat.

“Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kiev kini berusaha memberikan perlindungan dan menyediakan tempat selamat untuk rakyat Malaysia sebelum mereka dapat pulang ke Malaysia.

“Saya dimaklumkan bahawa terdapat 23 warganegara Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kiev, 12 orang telah pulang ke tanah air manakala 11 orang masih di sana,” katanya dalam satu hantaran di media sosial pada Khamis.

Ismail Sabri menambah, Malaysia berharap satu jalan penyelesaian damai yang terbaik di antara Ukraine dan Rusia dapat segera dicapai, seterusnya berjaya menyelesaikan konflik perang yang sedang berlaku.

Presiden Rusia, Vladimir Putin mengisytiharkan perang ke atas Ukraine pada Khamis.

Media antarabangsa melaporkan Putih telah mengarahkan pencerobohan ke atas Ukraine, menyifatkan ia sebagai ‘operasi ketenteraan khas’ dan bukan bertujuan menduduki negara itu.

Artikel Berkaitan: