Putin cakap tak serupa bikin

Pihak berkuasa Ukraine memeriksa serpihan peluru selepas kejadian letupan menggegar Kiev sejurus Putin (gambar kecil) mengumumkan ‘operasi khas’ pada Khamis. - Foto: AFP
Pihak berkuasa Ukraine memeriksa serpihan peluru selepas kejadian letupan menggegar Kiev sejurus Putin (gambar kecil) mengumumkan ‘operasi khas’ pada Khamis. - Foto: AFP
A
A
A

MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin mendakwa negara itu tidak merancang untuk merampas seluruh wilayah Ukraine setelah beliau mengumumkan pelancaran ‘operasi khas’ kononnya untuk mempertahankan Republik Rakyat Donetsk (DPR) dan Republik Rakyat Lugansk (LPR) daripada ‘pencerobohan Kiev’.

“Matlamat utama misi itu adalah untuk melindungi penduduk wilayah tersebut yang menjadi mangsa genosid sejak lapan tahun lalu,” katanya pada Khamis, sambil menambah Moscow akan memulakan kempen demilitarisasi dan menghapuskan ideologi Ukraine setelah Donbass turut menjadi medan pertempuran budaya sebelum ini.

Menurutnya, Kremlin juga tidak mempunyai rancangan untuk mengambil alih negara bekas Kesatuan Soviet itu seperti yang didakwa banyak pihak.

“Kami tidak akan melakukan perkara seperti itu secara paksa,” ujarnya.

Sejurus pengumuman kontroversi yang mengundang kecaman komuniti antarabangsa itu dibuat, beberapa kejadian letupan turut didengari di beberapa bandar dan di ibu kota Kiev yang dikhuatiri sebagai isyarat untuk kempen pencerobohan berskala penuh.

Media tempatan melaporkan pengawal sempadan Ukraine telah menjadi sasaran serangan di kawasan bersempadan Rusia dan Belarus.

Putin
Putin

Ketika ini, pasukan tentera darat Rusia didakwa telah menyeberangi Ukraine dari beberapa arah termasuk dari wilayah utara bersama kereta kebal dan jentera berat lain.

Artikel Berkaitan:

Berikutan situasi yang semakin meruncing, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat, namun beliau menggesa rakyat supaya tidak panik dan berikrar akan menang dalam pertempuran itu.

Sebelum ini, Kiev berulang kali mendakwa Moscow menempatkan pasukan tentera mereka di wilayah Donbass walaupun dinafikan Kremlin.

Difahamkan, ‘operasi khas’ itu dilancarkan setelah pemimpin Republik Donetsk dan Lugansk meminta bantuan ketenteraan secara rasmi daripada Rusia menerusi surat yang diterbitkan pada Rabu.

Pemimpin wilayah pemisah berkenaan mendakwa Ukraine kononnya sedang melancarkan perang terhadap mereka sejak Moscow mengiktiraf ‘kemerdekaan’ kedua-duanya.

Pemimpin DPR, Denis Pushilin dan Leonid Pasechnik yang memimpin LPR dikatakan menggunakan artikel tiga dan empat perjanjian mereka berhubung tuntutan kerjasama serta bantuan bersama dari Moscow. - Agensi


INFO


Bagaimana konflik Rusia-Ukraine pada 2014 bermula

- Pada Februari dan Mac 2014, Rusia kerahkan pasukan tenteranya untuk merampas kawalan Semenanjung Crimea setelah Viktor Yanukovych yang merupakan bekas Presiden pro-Moscow digulingkan oleh pemberontakan Euromaidan.

- Penyingkiran beliau mencetuskan konflik di timur Ukraine, selain sentimen pro-Kremlin adalah sangat tinggi.

- Putin mengambil peluang daripada situasi tegang itu untuk mengarahkan kempen ‘kembalikan Crimea kepada Rusia’ setelah Yanukovych melarikan diri ke Moscow.

- Ketika demonstrasi pro-Moscow meningkat di bandar pelabuhan Sevastopol di Crimea, anggota tentera Rusia bertopeng tanpa lencana didakwa mara untuk menguasai lokasi strategik di seluruh Crimea.

- Satu referendum yang ditolak komuniti antarabangsa diadakan pada 16 Mac 2014 yang menyaksikan 96.77 peratus penduduk di Crimea mengundi untuk menjadi sebahagian daripada Rusia.