Bahrain, Turkmenistan lawan sukar Harimau Malaya

No Image Caption
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya perlu menghadapi pasukan ke-89 dunia, Bahrain dan Turkmenistan (134) bagi menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 secara merit.

Dalam undian pusingan ketiga dan terakhir Kelayakan Piala Asia 2023 yang diadakan secara maya di Ibu Pejabat Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC), Rumah AFC di Bukit Jalil pada Khamis, Malaysia yang kini menduduki tangga ke-154 dunia diundi dalam Kumpulan E, yang turut disertai Bangladesh (186).

Malaysia mempunyai sedikit kelebihan sebagai tuan rumah, akan memulakan kempen sesi kelayakan itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil bertemu Turkmenistan pada 8 Jun.

Harimau Malaya di bawah kendalian ketua jurulatih yang baharu dari Korea Selatan, Kim Pan-gon, kemudiannya akan bertemu Bahrain pada 11 Jun dan Bangladesh tiga hari kemudian (14 Jun) bagi memburu kelayakan ke Piala Asia.

Tuan rumah, China dan 12 pasukan termasuk daripada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, telah pun menempah tiket masing-masing termasuk juara bertahan Qatar, Jepun, Korea Selatan, Vietnam, Arab Saudi dan Australia.

Pada pusingan terakhir kelayakan, 24 negara akan merebut 11 tempat, dengan hanya pemenang dari enam kumpulan dan lima pasukan terbaik di tempat kedua, akan layak.

Malaysia kali terakhir layak ke Piala Asia secara merit pada 1980 di Kuwait, manakala pada 2007, Harimau Malaya layak sebagai tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Pan-gon dan pasukan kejurulatihan barunya dijadualkan untuk memanggilkan latihan berpusat Harimau Malaya yang pertama pada 14 Mac, sebelum mengadakan dua Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1, bertemu Filipina pada 23 Mac dan Singapura (26 Mac).

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua perlawanan akan berlangsung di Singapura.