Enam individu ditahan disyaki terlibat penipuan jual beli telefon

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Polis menahan enam individu termasuk tiga wanita berumur 20 hingga 44 tahun selepas dipercayai terlibat dengan penipuan jual beli telefon bimbit dalam beberapa serbuan di Shah Alam, Selangor pada Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban membuat serbuan itu selepas menerima satu laporan yang dibuat seorang wanita pada hari sama berkenaan penipuan pembelian satu unit telefon bimbit jenis Iphone.

"Dalam serbuan itu, polis telah merampas sebuah kereta, 10 unit telefon bimbit, 10 kad sim pelbagai nombor dan kad ATM pelbagai bank.

"Turut dirampas tiga helai seluar dan dan tiga helai baju dipercayai telah dipakai suspek semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini, suspek mengaku mula menjalankan penipuan itu pada tahun 2017 dan semakin aktif pada tahun 2020 sehingga sekarang menggunakan modus operandi sama melibatkan lebih kurang 50 mangsa.

"Setakat ini juga, kita telah mengenal pasti sebanyak 20 laporan polis membabitkan jumlah kerugian bernilai RM60,000 yang mana telefon yang diperolehi akan dijual kepada individu lain.

"Sebanyak 11 kes disiasat di Negeri Sembilan manakala sembilan kes lain melibatkan negeri-negeri lain.

"Semua yang ditangkap masih dalam tahanan reman dan kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan bagi menuduh kesemua suspek terlibat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, mana-mana mangsa yang pernah ditipu oleh suspek diminta tampil membuat laporan di balai polis berhampiran.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya berhati-hati ketika membuat urusan jual beli sama ada secara dalam talian ataupun bersemuka," katanya.