Kontraktor dewan makan sekolah berasrama dilema tanggung rugi

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kewangan perlu segera menangani isu kontraktor dewan makan sekolah berasrama yang berterusan menanggung kerugian akibat pelbagai masalah susulan pandemik Covid-19.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah, Datuk Mohd Zayad Md Ismail berkata, perbincangan bersemuka antara dua pihak perlu diadakan sebelum sesi persekolahan baharu bermula Mac depan agar berlaku situasi menang-menang.

Menurutnya, kementerian juga perlu membuat penilaian ke atas kerugian yang terpaksa ditanggung oleh semua sektor makanan bermasak sekolah berasrama di seluruh negara.

“Kontraktor dewan makan terpaksa tanggung kerugian akibat daripada beberapa arahan terkini yang dikeluarkan KPM.

“Antaranya, mereka berdepan kekangan selepas KPM memutuskan murid bukan dari kelas peperiksaan tidak dibenarkan kembali ke asrama selepas cuti Tahun Baru Cina, selain murid di sekolah berasrama penuh pula hanya sebahagian kecil dibenarkan kembali ke asrama,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Khamis.

Mohd Zayad berkata, walaupun memahami keperluan arahan tersebut, ia menjejaskan perniagaan mereka akibat diumumkan secara tiba-tiba.

“Ini menyebabkan sebahagian besar kontraktor kerugian terutama mereka yang telah membeli stok bahan mentah lebih awal.

“Bukan semua bahan mentah boleh disimpan lama. Sekiranya arahan diberitahu awal, pembelian boleh dirancang. Keadaan ini dibebankan lagi dengan kos elektrik untuk penyimpanan lebihan stok selain kenaikan harga barang mentah yang ketara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, pengurangan bilangan pelajar turut memberi kesan terutama pada tuntutan anggaran bayaran yang terpaksa dikurangkan oleh pengusaha.

Mohd Zayad
Mohd Zayad

“Pihak sekolah pula sering mendesak agar kontraktor menuruti terma kontrak asal walaupun bilangan pelajar berkurangan. Malah mahu mereka mengekalkan bilangan pekerja seperti dinyatakan dalam kontrak sehingga ada kontraktor didenda pihak sekolah atas alasan pelanggaran kontrak.

“Pihak sekolah seharusnya memahami pandemik Covid-19 serta arahan KPM telah memberi kesan besar apabila ramai majikan terpaksa memberhentikan pekerja kerana tidak mampu menanggung kos.

“Mereka juga berdepan kesukaran mengekalkan pekerja kerana ramai membuat keputusan berhenti kerja akibat hilang keyakinan dalam sektor ini selepas kekerapan arahan penutupan sekolah, selain majikan tidak lagi mampu membayar gaji,” katanya.

Mohd Zayad berkata, lantaran kerugian berterusan, ramai kontraktor kehabisan modal untuk meneruskan perniagaan malah ada yang menghantar notis penamatan kontrak walaupun terpaksa kehilangan deposit.

“Beban kontraktor dewan makan semakin tinggi sekiranya telah membayar bon pelaksanaan sedangkan perniagaan tidak dapat dijalankan atau beroperasi di bawah nilai jaminan sebenar,” ujarnya.

Menurutnya, sehingga kini tiada sebarang kenyataan daripada kerajaan mahupun KPM berhubung bantuan yang akan diberikan kepada kontraktor dewan makan tersebut.

“DPMM Kedah berharap pihak terlibat termasuk pengurusan sekolah mengambil kira kaedah pembayaran mengikut kadar semasa bilangan pelajar dengan harga sewajarnya.

“Antara cadangan, kos pembayaran gaji pekerja dalam tempoh penutupan sekolah atau pengurangan pelajar ditanggung oleh KPM. Manakala pengurusan sekolah perlu gunakan budi bicara dalam membuat keputusan terutama berkaitan kontrak perjanjian,” katanya.