TUDM cipta sejarah rekod jam penerbangan tertinggi di Asia

TUDM mencipta sejarah apabila merekodkan jumlah jam penerbangan terkumpul paling tinggi di Asia menerusi helikopter H225M (EC725AP).
TUDM mencipta sejarah apabila merekodkan jumlah jam penerbangan terkumpul paling tinggi di Asia menerusi helikopter H225M (EC725AP).
A
A
A

SHAH ALAM - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mencipta sejarah apabila merekodkan jumlah jam penerbangan terkumpul paling tinggi di Asia menerusi helikopter H225M (EC725AP).

Airbus dalam kenyataan memaklumkan, kesemua 12 unit H225M itu telah mencapai rekod jam penerbangan keseluruhan lebih dari 20,000 jam penerbangan.

“Fleet helikopter H225M Tentera Udara Diraja Malaysia sebanyak 12 unit ini telah berkhidmat semenjak 2012 lagi.

“Direka bentuk untuk menangani misi yang paling mencabar, helikopter H225M telah mengambil bahagian dan menyertai pelbagai misi latihan dan kemanusiaan, termasuk operasi penyelamatan semasa banjir dan operasi menyelamatkan nyawa termasuk cabaran menangani pandemik Covid-19.

“Secara keseluruhan, kesemua unit tersebut berjaya mengumpulkan sejumlah 20,000 jam penerbangan,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Airbus Helicopters telah menganjurkan satu majlis di Pangkalan Udara Kuantan untuk menyampaikan penghargaan kepada TUDM di atas kejayaan tersebut.

Anugerah tersebut disampaikan Ketua Serantau bagi Airbus Helicopters Asia Pasifik, Vincent Dubrule, kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad TUDM bagi meraikan dan memperingati pencapaian penuh bersejarah itu.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan; Pengarah Urusan Airbus Helicopters Malaysia merangkap Ketua Pegawai Operasi Airbus Helicopters Asia Pasifik, Gerard Pau serta wakil Ketua Negara Airbus di Malaysia, Raymond Lim.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan itu juga memaklumkan, juruterbang helikopter H225M Tentera Udara Diraja Malaysia yang masing-masing telah mencapai sejumlah 1,500, 1,000 dan 500 jam penerbangan dalam helikopter H225M juga telah diberikan anugerah pencapaian jam penerbangan di majlis penuh bersejarah itu.

Tambah kenyataan berkenaan, aset tempur pelbagai fungsi dan serba boleh yang terbukti keupayaannya, helikopter H225M (EC 725 AP) membolehkan pasukan tentera dihantar ke mana sahaja pada bila-bila masa diperlukan.

“Pada masa kini, sejumlah 125 helikopter H225M berada dalam perkhidmatan di seluruh dunia.

“Selain Malaysia, negara Brazil, Perancis, Indonesia, Mexico, Singapura, Thailand dan Kuwait juga bergantung kepada keupayaan helikopter H225M untuk menyokong dan melaksanakan misi mereka yang paling mencabar,” ujarnya.