Solat Subuh, Isyak berjemaah dapat hadiah motosikal

Sebahagian jemaah termasuk kanak-kanak bergambar bersama motosikal dan basikal yang akan diberikan kepada jemaah Masjid Assa'adah Pengkalan Batu yang terpilih.
Sebahagian jemaah termasuk kanak-kanak bergambar bersama motosikal dan basikal yang akan diberikan kepada jemaah Masjid Assa'adah Pengkalan Batu yang terpilih.
A
A
A

MELAKA - Masjid Assa'adah Pengkalan Batu di sini menawarkan hadiah tiga buah motosikal kepada jemaah yang hadir menunaikan solat Subuh dan Isyak berjemaah di masjid itu selama 40 hari.

Pengerusinya, Datuk Amzah Osman berkata, hadiah motosikal jenis Modenas Kriss berharga RM3,500 itu akan diberikan kepada mereka yang berusia 16 tahun ke atas sempena program istiqamah imarah masjid solat 40 hari.

Menurutnya, hadiah hasil sumbangan penderma itu akan diberikan mengikut kategori yang ditetapkan iaitu jemaah lelaki kariah masjid, bukan kariah masjid, pegawai syarak, jawatankuasa, pekerja masjid dan jemaah wanita.

"Penganjuran program ini tercetus untuk memberi penghargaan kepada jemaah yang bermujahadah bangkit awal pagi untuk menunaikan solat.

"Awal bulan ini, kita mulakan program sama bagi kategori kanak-kanak dengan menawarkan hadiah basikal dan melihat masjid kembali meriah, kita wujudkan pula hadiah bagi golongan dewasa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini pada Rabu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Batu, Derus Tumpang berkata, kalau sebelum ini hanya tiga saf solat jemaah kini telah meningkat dan memenuhi hingga lima saf.

Menurutnya, meskipun ada yang beranggapan mereka hadir solat jemaah untuk mendapatkan motosikal, namun terus berdoa semoga jemaah istiqamah terutama untuk hadir solat jemaah pada Subuh dan Isyak.

"Saya bersyukur dan berbangga dengan barisan masjid ini yang muafakat mencari idea menarik orang ramai ke masjid terutama bagi solat jemaah.

Artikel Berkaitan:

"Melihat kehadiran ramai, ini juga menunjukkan satu pencapaian luar biasa dan saya yakin jawatankuasa masjid akan terus menyediakan program-program menarik untuk memberi manfaat kepada orang ramai," katanya.

Dalam pada itu, Imam Masjid Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, mungkin ada yang mempertikaikan usaha masjid ini, namun beliau berpendapat perlunya 'memaksa' jemaah untuk datang ke masjid melalui pendekatan ini.

"Insya-ALLAH lama-kelamaan iaitu selama 40 hari, mereka akan merasai kemanisan solat jemaah dan akan berterusan datang ke masjid.

"Diharap masjid ini juga dapat menjadi contoh kepada masjid lain di negeri ini," katanya.