Dua lelaki direman bantu siasatan kemuka tuntutan palsu

Suspek ketika tiba di mahkamah pada Rabu.
Suspek ketika tiba di mahkamah pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Dua lelaki pada Rabu direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu tiga tahun lalu.

Lelaki berusia 56 tahun itu memegang jawatan penting dalam pengurusan Pasukan Tenpin Boling Negeri Sembilan, manakala lelaki berusia 43 tahun itu pula mempunyai jawatan dalam pengurusan Majlis Sukan Negeri Sembilan.

Kedua-dua lelaki itu direman bermula Rabu hingga Selasa depan selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mohd Firdaus Salleh di Mahkamah Majistret Seremban di sini.

Permohonan sebelum itu dibuat oleh Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Shahrul Nizam Mohd Mokhtar.

Difahamkan pada September hingga Disember 2019, kedua-dua suspek bersama seorang lagi telah bersubahat mengemukakan tuntutan palsu melibatkan latihan sukan boling atas nama Pasukan Tenpin Boling Negeri Sembilan bagi persediaan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 kepada Majlis Sukan Negeri Sembilan.

Nilai keseluruhan tuntutan yang dibuat pada tahun 2019 itu ialah RM17,280. Bagaimanapun, latihan itu tidak dijalankan.

Mereka sebelum itu ditahan ketika hadir di Pejabat SPRM Negeri Sembilan pada Selasa.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Artikel Berkaitan: