Petender kemuka dokumen, maklumat palsu akan dilaporkan

Kementerian Pendidikan
Kementerian Pendidikan
A
A
A

PUTRAJAYA - Petender yang menyertai proses tender Kementerian Pendidikan (KPM) dengan mengemukakan dokumen palsu atau yang dipinda dengan niat menipu akan dilaporkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Petender yang melakukan kesalahan itu boleh didakwa di bawah Akta SPRM 2009, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Menurut kementerian itu lagi, ia telah membuka tender Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak (BMB), Perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) dan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) bagi 2019 secara berperingkat bermula 13 Mac lepas.

"KPM berharap setiap petender akan memberi kerjasama penuh bagi mewujudkan persekitaran perolehan yang bebas daripada elemen-elemen kurang sihat,” kata kementerian itu yang mengalu-alukan penyertaan seramai mungkin dalam proses tender secara terbuka di bawah sistem ePerolehan itu.

Memandangkan sebelum ini terdapat petender yang mengemukakan maklumat palsu antaranya berkaitan kedudukan kewangan bank, Kementerian Pendidikan menegaskan keperluan agar petender yang menyertai proses tender kali ini mengutamakan budaya berintegiti tinggi.

Kementerian Pendidikan juga mengingatkan petender supaya tidak tertipu dengan membeli maklumat tender melalui mana-mana individu yang menyamar sebagai "orang tengah".

"Pegawai-pegawai KPM yang terlibat dalam tender tidak pernah dan tidak akan berhubung dengan mana-mana ejen untuk menjual sebarang maklumat tender.

"Kesalahan membayar untuk mendapatkan maklumat tender juga boleh didakwa di bawah Akta SPRM 2009," kata kementerian itu.

Artikel Berkaitan:

KPM berkata petender yang ingin menyertai tender di kementerian itu perlu berdaftar dengan sistem ePerolehan dan sentiasa mengemas kini semua maklumat terkini dalam sistem itu.

KPM berkata petender juga hendaklah sentiasa merujuk laman web KPM, sistem ePerolehan dan laman MyProcurement bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai tender yang akan diiklankan KPM.- Bernama