Bekas MB Johor kekal bertanding di DUN Bukit Kepong

Sahruddin (belakang, dua dari kiri) ketika beramah mesra bersama pengamal media pada program berkenaan.
Sahruddin (belakang, dua dari kiri) ketika beramah mesra bersama pengamal media pada program berkenaan.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Sahruddin Jamal mengesahkan dia akan kembali bertanding untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Sahruddin yang juga Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Negeri Johor memberitahu, perkara itu berikutan kelebihan dimiliki beliau kerana telah berkhidmat di kawasan berkenaan sejak empat tahun lalu.

“Saya cukup yakin saya merupakan calon yang akan bertanding di DUN Bukit Kepong kerana saya dah berkhidmat di sana selama empat tahun.

“Dalam tempoh ini, banyak pembangunan dan program saya jalankan dan alhamdulillah semuanya mendapat sambutan yang baik dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Majlis Ramah Mesra Setiausaha Perikatan Nasional Johor bersama Pengamal Media di sebuah hotel di bandar raya ini, pada Selasa.

Pengumuman itu menyaksikan Sahruddin yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menjadi calon pertama PN yang didedahkan akan bertanding pada PRN Johor.

Difahamkan, pimpinan parti itu sebelum ini memaklumkan kesemua senarai calon yang telah dipilih akan diumumkan sendiri Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis pada 24 Februari ini.

Sahruddin berkata, sokongan terhadap dirinya juga dipercayai boleh diterjemahkan oleh penduduk tempatan di DUN Bukit Kepong kerana sentiasa aktif membantu pelbagai jenis golongan di sana.

Artikel Berkaitan:

“Saya cukup yakin kebanyakan masjid di DUN Bukit Kepong saya telah bantu, begitu juga surau sekolah kebangsaan, sekolah Cina dan sekolah Tamil.

“Ini kerana bagi saya penting untuk kita bangunkan institusi pendidikan agar masyarakat di Bukit Kepong dan Parlimen Pagoh mendapat pendidikan yang tinggi.

“Alhamdulillah, saya merupakan seorang doktor, jadi saya juga mahu melihat semua anak-anak Bukit Kepong boleh mendapat pendidikan sewajarnya sekali gus berjaya di masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada pengundi di Johor tidak akan bergantung kepada pemilihan calon berdasarkan logo parti, Sahruddin berkata, perkara itu tidak akan mempengaruhi undian rakyat selain mereka juga hanya akan memilih calon yang benar-benar layak.

“Ya betul saya yakin (tidak memilih logo parti), pengundi-pengundi akan melihat calon mereka, apatah lagi kami di PN pernah memerintah.

“Kita juga ada ada bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar. Saya rasa pengalaman yang kita ada ini dapat digunakan untuk mentadbir Malaysia dengan lebih baik dan berintegriti,” katanya.