Drama tebusan di premis Apple berakhir

Anggota polis mengawal sebuah kedai Apple yang menjadi tempat seorang lelaki menahan beberapa tebusan di Amsterdam pada Selasa. - Foto AFP
Anggota polis mengawal sebuah kedai Apple yang menjadi tempat seorang lelaki menahan beberapa tebusan di Amsterdam pada Selasa. - Foto AFP
A
A
A

AMSTERDAM - Seorang lelaki yang bersenjatakan senjata api dan menahan beberapa orang sebagai tebusan di sebuah kedai yang menjual barangan komputer dan produk Apple di tengah Amsterdam akhirnya ditangkap oleh polis pada Selasa.

Lelaki itu berjaya ditangkap selepas pihak polis melakukan kepungan selama beberapa jam di kedai berkenaan.

Polis berkata, sebelum tangkapan dibuat, lelaki tersebut telah membebaskan seorang tebusan selepas beberapa tebusan berjaya melarikan diri.

Sebelum itu, unit khas dikerahkan untuk mengawal keadaan selepas dimaklumkan tentang rompakan bersenjata pada jam 5.40 petang waktu tempatan di kedai tersebut.

Polis juga berkata, selepas drama tebusan itu berakhir, lelaki bersenjata itu berbaring di hadapan kedai tersebut di Leidseplein di tengah-tengah bandar raya Belanda.

Sebuah robot kemudian memeriksa tubuhnya untuk mengesan jika terdapat bahan letupan.

Menurut polis, pihaknya berjaya menangkap lelaki itu selepas melanggarnya dengan sebuah kereta ketika dia berlari keluar dari kedai tersebut.

Sebuah televisyen awam Belanda melaporkan lelaki itu turut mengalami kecederaan dan dihantar untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan menggunakan sebuah ambulans. - Agensi

Artikel Berkaitan: