Sila log masuk terlebih dahulu.

FAM, Perlis bincang kerjasama pembangunan bola sepak

Hamidin menyerahkan cenderamata kepada Azlan.- Foto Football Association of Malaysia
Hamidin menyerahkan cenderamata kepada Azlan.- Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man bagi membincangkan kerjasama dalam pemerkasaan program sukan bola sepak tempatan.

Menurut Hamidin, program sukan bola sepak negeri perlu diberi nafas baharu, diperkasa serta diperhebatkan lagi terutama selepas pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan terhadap perkembangan sukan nombor satu negara itu.

Jelasnya, hubungan dua hala antara kerajaan negeri dan Persatuan Bolasepak Negeri (FA) adalah tunjang kepada kejayaan pasukan selain kerjasama itu dapat menyemarakkan lagi bola sepak tempatan terutama dari aspek pembangunan.

"Sokongan kerajaan negeri penting dalam melaksanakan program bola sepak sekali gus memartabatkan sukan nombor satu ini di setiap peringkat, akar umbi, bola sepak lelaki dan wanita, futsal mahupun bola sepak pantai,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi FAM pada Selasa.

Hamidin pada masa sama berkata, Azlan mempunyai pandangan sama yang mana hubungan dua hala antara kerajaan negeri dan FA sememangnya menjadi kunci utama kepada kejayaan pembangunan bola sepak pasukan negeri.

Hadir sama pada pertemuan tersebut adalah dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram, barisan ahli jawatankuasa eksekutif FAM dan Setiausaha Agung badan induk itu Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Turut hadir Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) Zamri Ibrahim dan ahli-ahli jawatankuasa eksekutif PFA.

Artikel Berkaitan: