Pelaksanaan 5G perlu dilaksana dalam jangka waktu munasabah

Annuar pada Sambutan Hari Internet 2022 Edisi Malaysia di Putrajaya pada Selasa.
Annuar pada Sambutan Hari Internet 2022 Edisi Malaysia di Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pelaksanaan rangkaian generasi kelima (5G) perlu dibuat dalam jangka waktu yang munasabah bagi mengelakkan kehilangan pelabur berpotensi, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, pelaksanaan 5G perlu dilakukan dalam tempoh tiga tahun dengan sekurang-kurangnya 80 peratus kawasan berpenduduk menerima liputan rangkaian itu.

"Kalau (pelabur) ingin datang ke Malaysia, mereka akan tanya ada fasiliti 5G atau tidak, dan jika ada mereka datang.

"Jika kami kata lima tahun lagi baru ada 5G, mereka (pelabur berpotensi) akan pergi ke tempat lain... jadi anda kehilangan pelabur berpotensi. Itu adalah sesuatu yang penting untuk kesejahteraan negara dan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Keselamatan Internet 2022 - Edisi Malaysia di sini pada Selasa.

Annuar berkata, beliau akan melakukan apa yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah berkaitan bagi memastikan pelaksanaan 5G akan berlangsung dalam tempoh sepatutnya.

"Walau apa masalah yang timbul, saya akan memastikan ia akan diselesaikan.

"Sila ingat, apabila kami melancarkan 4G, ia mengambil masa lapan tahun untuk mencapai 80 peratus...kami tidak boleh melaksanakan 5G dengan kelajuan yang sama,” katanya.

Jumaat lepas, Annuar berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan Kementerian Kewangan (MOF) akan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri bulan depan untuk menoktahkan isu berkaitan Digital Nasional Bhd (DNB).

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kedudukan DNB dan Rangkaian Borong Tunggal atau Rangkaian Borong Dual yang menjadi satu perdebatan dan polimik akan diselesaikan tidak lama lagi.

DNB, merupakan syarikat tujuan khas kerajaan bagi pelancaran 5G, sebelum ini mengumumkan ketersediaan rangkaian itu di beberapa kawasan tertentu di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur bermula 15 Disember lepas.

DNB komited untuk menyegerakan jadual pelancaran liputan 5G kepada 80 peratus populasi negara menjelang 2024. - Bernama