Pemilihan PKR ditangguh ke Mei

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

SHAH ALAM - Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan pemilihan parti itu bagi sesi 2022 hingga 2025 ditangguhkan ke tarikh baharu bermula 13 hingga 18 Mei ini.

Penangguhan selaras dengan peruntukan Fasal 47.3 Perlembagaan PKR itu dimaklumkan beliau menerusi notis pekeliling pada Selasa.

Saifuddin berkata, pemilihan parti akan dijalankan menurut kaedah dan peruntukan baharu, sesuai dengan ketetapan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dalam mesyuarat pada Isnin.

“Pemilihan parti bagi kesemua jawatan termasuk sayap wanita dan pemuda di peringkat cabang akan diadakan selama lima hari pada Mei.

“Pemilihan bagi jawatan presiden, timbalan presiden dan empat naib presiden serta jawatan yang sama di sayap wanita dan pemuda bagi peringkat pusat akan turut diadakan pada tarikh sama,” katanya.

Menurut Saifuddin, mesyuarat juga bersetuju hari pencalonan bagi peringkat cabang ditetapkan pada 8 hingga 10 April, manakala pencalonan untuk jawatan MPP pada 11 April ini.

Ujar beliau, hanya anggota PKR berdaftar sebelum atau pada 31 Januari 2022 yang sah memilih barisan calon pimpinan di peringkat pusat dan cabang.

Tambahnya, daftar anggota parti untuk kegunaan pemilihan 2022 akan dikeluarkan kepada cabang-cabang mulai 24 Februari ini.

Artikel Berkaitan:

“Calon-calon yang bertanding dalam apa jua peringkat jawatan akan dibekalkan dengan daftar pemilih parti selepas pencalonan mereka disahkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

"Kelayakan bertanding hanya untuk ahli PKR yang mendapat pencalonan daripada dua orang anggota yang telah menjelaskan yuran dan layak mengundi serta menjadi ahli tidak kurang 12 bulan dari tarikh kelulusan pada 31 Januari 2022.

“Pengundian peringkat pusat dan cabang dijalankan secara pengundian digital (e-voting) melalui kaedah hibrid iaitu undian dalam talian, manakala secara fizikal di pusat pengundian," jelasnya.

Sebelum ini, PKR memaklumkan akan mengadakan pemilihan bagi pemegang jawatan 2022 hingga 2025, bermula 22 hingga 29 April ini, dengan tempoh pencalonan akan diadakan pada 11 sehingga 19 Mac 2022.

Seterusnya, Kongres Nasional PKR pula akan menyusul selepas pemilihan yang dijadual diadakan pada 10 hingga 12 Jun ini.