308 pegawai, polis Melaka bantu PRN Johor

Abdul Majid
Abdul Majid
A
A
A

JASIN - Polis Melaka akan menghantar 308 pegawai dan anggota bagi membantu kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, kesemua mereka akan digerakkan mengikut keperluan kontinjen Johor secara berperingkat termasuk unit Light Strike Force (LSF), trafik serta bantuan aset lain.

"Selain itu juga kita bersiap sedia dengan 70 anggota simpanan sekiranya keadaan memerlukan.

"Pihak kita juga sedia untuk berkongsi pengalaman daripada segi penguatkuasaan ketika PRN Melaka pada 20 November lepas dengan kontinjen Johor supaya sebarang masalah yang timbul sebelum ini dapat ditambah baik pelaksanaannya nanti,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau sebelum itu menyempurnakan Majlis Perasmian Balai Polis Bemban yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Melaka Datuk Razali Abu Samah.

Sementara itu, Abdul Majid berkata, Polis Melaka juga akan menubuhkan bandar selamat berkonsepkan pelancongan iaitu 'Smart City Policing' di Jonker Walk pada Mac ini.

Beliau memberitahu, program itu juga mendapat kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) membabitkan penggunaan teknologi dan kamera litar tertutup (CCTV).

"Melaka merupakan negeri pelancongan yang menerima jutaan pengunjung setiap tahun dan usaha ini bagi memastikan kawasan pelancongan sentiasa berada dalam keadaan selamat dan jika perkara ini berjaya kita akan perluaskan di tempat lain di Melaka," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: