Dewan Ulamak Pas gesa hormati hak tiga kanak-kanak diislamkan bapa

Dewan Ulamak Pas menggesa semua pihak agar menghormati hak tiga kanak-kanak yang diislamkan oleh bapa mereka.
Dewan Ulamak Pas menggesa semua pihak agar menghormati hak tiga kanak-kanak yang diislamkan oleh bapa mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Ulamak Pas menggesa semua pihak agar menghormati hak tiga kanak-kanak yang diislamkan oleh bapa mereka untuk memilih Islam sebagai agama anutan ketiga-tiga anaknya itu.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Dewan Ulamak Pas berkata, pilihan tersebut harus dihormati tanpa sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak yang menghulurkan bantuan dan kebajikan kepada kanak-kanak tersebut termasuk tuduhan negatif berkenaan wujudnya unsur pemaksaan.

Katanya, ini kerana pengislaman kanak-kanak terbabit dibuat dengan kerelaan dan persetujuan bapa kanak-kanak tersebut.

“Dewan Ulamak Pas mendesak pihak kerajaan dan semua pihak agar memberi keutamaan kepada kemaslahatan tiga anak-anak Puan Loh (Siew Hong) yang telah memilih Islam sebagai pegangan akidah mereka agar tidak diusik dan dipaksa untuk kembali murtad,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin memerintahkan tiga beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ibi dilaporkan mengesahkan bahawa tiga kanak-kanak berumur antara 10 hingga 14 tahun itu telah memeluk Islam.

Siew Hong bagaimanapun telah membuat laporan polis bagi meminta memulangkan anaknya yang didakwa ditahan seorang pendakwah wanita dari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Siew Hong mendakwa telah berpisah dengan bekas suaminya, M Nagahswaran yang berbangsa India sejak Mac 2019 dan kemudiannya berpisah daripada anak-anaknya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Dewan Ulamak Pas Pusat turut mendesak dan mengesyorkan kepada kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Mediasi Agama bagi memastikan kebajikan anak di bawah jagaan ibu atau penjaga bukan Islam agar mereka diberikan keutamaan termasuk dari segi akidah.

Sementara itu, Dewan Ulamak PAS Pusat turut menggesa pindaan perlembagaan dalam Jadual kesembilan senarai negeri untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah bidang kuasa untuk melakukan ‘judicial review’ berhubung kes berkaitan umat Islam khususnya membabitkan pertukaran agama.

“Dewan Ulamak Pas Pusat mendesak pihak berkuasa agama di setiap negeri segera meminda syarat pertukaran agama dengan keizinan ibu atau bapa dan bukan ibu dan bapa seperti yang ada di sesetengah negeri,” ujar kenyataan itu lagi.