Pesara maut dilanggar lari, suspek larikan MPV pemuda cuba bantu

Polis sedang mengesan pemandu dan penumpang sebuah kereta yang terbabit dalam kejadian langgar lari menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Kilometer 269 LPT2 pada Isnin. (Gambar kecil: Hanyan)
Polis sedang mengesan pemandu dan penumpang sebuah kereta yang terbabit dalam kejadian langgar lari menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Kilometer 269 LPT2 pada Isnin. (Gambar kecil: Hanyan)
A
A
A

KEMAMAN – Polis sedang mengesan pemandu dan penumpang sebuah kereta yang terbabit dalam kejadian langgar lari menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Kilometer 269, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur masuk Plaza Tol Cheneh, di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 petang itu, mangsa yang merupakan seorang pesara, Zolkafli Ahmad, 57, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Skuter Vmoto 250 dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kerteh.

“Tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa telah dilanggar oleh sebuah kereta jenis Perodua Myvi dinaiki dua lelaki terbabit dari arah sama menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terbabas di bahu kiri jalan.

“Mangsa kemudian tercampak ke dalam longkang dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala pemandu Myvi berkenaan melarikan diri,” katanya di sini pada Selasa.

Menurut Hanyan, kemalangan tersebut disedari seorang pemuda yang berhenti memberi bantuan kepada mangsa sebelum mencari pemandu dan penumpang Myvi berkenaan.

Beliau berkata, pemuda tersebut berjaya menemui kereta dinaiki kedua-dua lelaki berkenaan yang tersadai kerana mengalami kerosakan kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.

“Ketika pemuda itu sedang meminta bantuan daripada kenderaan lain, kedua-dua lelaki tersebut masuk ke dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina milik pemuda terbabit dan memecut laju melarikan diri menggunakan kenderaan yang dicuri itu.

Artikel Berkaitan:

“Pemuda terbabit kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kemaman dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun,” katanya.