Biden, Putin terima cadangan Macron

Macron (tengah) mencadangkan sidang kemuncak antara Biden (kiri) dan Putin. - Foto: Agensi
Macron (tengah) mencadangkan sidang kemuncak antara Biden (kiri) dan Putin. - Foto: Agensi
A
A
A

PARIS - Presiden Rusia, Vladimir Putin dan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS) bersetuju secara ‘prinsip’ untuk mengadakan sidang kemuncak bagi meredakan ketegangan di Ukraine.

Pengumuman itu dibuat Istana Elysee pada malam Ahad selepas cadangan itu dibuat Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang turut mencadangkan rundingan tersebut disertai pihak berkepentingan yang berkaitan untuk membincangkan keselamatan dan kestabilan strategik di Eropah.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki berkata, Biden hanya akan bertemu dengan Putin jika kempen pencerobohan ke atas Kiev tidak dilancarkan.

Ketika dihubungi Macron yang menawarkan diri untuk menjadi perantara rundingan Normandy Format, Putin turut memaklumkan beliau berhasrat untuk memanggil pulang tentera mereka dari Belarus sejurus latihan ketenteraan bersama tamat walaupun Minsk mendakwa ia akan dilanjutkan untuk satu tempoh yang tidak dinyatakan yang meletakkan pasukan tempur berskala besar berhampiran utara Ukraine.

Kremlin juga membincangkan tentang usaha mencari penyelesaian diplomatik kepada krisis yang semakin memuncak di wilayah timur Kiev.

Menerusi panggilan bersama Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, pemimpin tersebut menegaskan keazamannya untuk tidak bertindak balas dengan provokasi dan akan terus menghormati gencatan senjata yang dicapai bersama Moscow.

Dalam perkembangan berkaitan, pertempuran dilaporkan semakin sengit di wilayah Donbass, timur Kiev.

Kumpulan pemisah pro-Rusia yang dipimpin Republik Rakyat Donetsk (DPR) dan Republik Rakyat Lugansk (LPR) mendakwa tentera Ukraine telah meningkatkan serangan dengan menyasarkan kedudukan mereka pada malam Ahad.

Artikel Berkaitan:

“Keadaan ketika ini lebih teruk berbanding beberapa hari lalu. Kami mengesan kira-kira 700 tembakan dilepaskan ke wilayah ini,” kata jurucakap DPR, Eduard Basurin.

Sementara itu, jurucakap militia LPR, Ivan Filippenko juga menuding jari menuduh unit khas tentera Ukraine memburukkan situasi di garisan sempadan wilayah bergolak tersebut walaupun tiada bukti untuk menyokong dakwaan berkenaan.

Kiev bagaimanpun menafikan tuduhan ia cuba merampas semula wilayah tersebut dan mendakwa kumpulan militia itu sendiri yang melakukan pencabulan gencatan senjata. - Agensi