Dalang utama kes pecah gudang ditahan

 Dalang utama kes pecah gudang dan mencuri peralatan pembinaan membabitkan kerugian RM800,000 di Bercham pada 15 Februari lalu berjaya ditahan. - Gambar hiasan
Dalang utama kes pecah gudang dan mencuri peralatan pembinaan membabitkan kerugian RM800,000 di Bercham pada 15 Februari lalu berjaya ditahan. - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Dalang utama kes pecah gudang dan mencuri peralatan pembinaan membabitkan kerugian RM800,000 di Bercham pada 15 Februari lalu berjaya ditahan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan dalam serbuan sebuah rumah di Kampung Baru Tambun sekitar jam 8 malam pada Sabtu, hasil maklumat awam.

Menurutnya, penahanan suspek paling dikehendaki itu membantu polis dalam menyelesaikan siasatan kes berkenaan.

"Polis telah mendapatkan perintah reman ke atas suspek selama empat hari sehingga Rabu ini bagi siasatan kes di bawah 457 Kanun Keseksaan.

"Polis kini sedang memburu rakan sejenayah suspek lain yang masih bebas," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes jenayah harta benda yang dilaporkan di sekitar Ipoh sebelum ini.

"Polis merakamkan jutaan terima kasih atas kerjasama orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat menangani masalah jenayah di daerah ini," katanya.

Dalam laporan sebelum ini, polis telah menahan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Kesemua suspek berusia 42 hingga 58 tahun itu dicekup ketika sedang memindahkan barang curi berkenaan dalam kenderaan.