Sila log masuk terlebih dahulu.

‘Drama’ Dr Mahathir-Najib hangatkan PRN Johor

Dr Mahathir, Najib
Dr Mahathir, Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Drama dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat telah menghangatkan situasi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ia dapat dilihat apabila Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu sekali lagi menghantar surat kedua kepada pengundi Johor yang mana menyentuh soal Najib.

Dalam surat tersebut, Tun Mahathir memberi amaran sekiranya Najib kembali berkuasa, negara akan dikuasai dan ditadbir oleh seorang kleptokrat daripada kluster mahkamah.

Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, Najib masih tidak malu dan sedang berusaha untuk mengembalikan kekuatan politik kerana percaya apabila memegang kuasa politik beliau dapat lepas daripada hukuman.

"Tidak ada dendam peribadi di pihak saya terhadap Najib. Perlu diingatkan ketika skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memuncak, adik Najib, Tan Sri Nazir (Razak) sendiri telah datang menemui saya meminta saya lakukan sesuatu kerana wang berbilion telah hilang dan keadilan belum lagi dicapai terhadap jenayah dilakukan.

"Nazir menulis panjang lebar mengenai skandal 1MDB dan jenayah-jenayah dilakukan abangnya. Tulisan Nazir disebabkan perasaan malu keluarganya begitu bersalah. Banyak lagi ditulis Nazir yang dedahkan skandal Najib ini secara terperinci," katanya dalam surat tersebut pada Sabtu.

Dr Mahathir turut mengakui beliau malu untuk ‘meratib’ nama Najib yang terpalit tuduhan penyelewengan dana negara, namun berbuat demikian bagi memastikan Ahli Parlimen Pekan itu tidak kembali berkuasa.

Bagaimanapun, Najib menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Ahad, memberikan respons terhadap surat berkenaan dengan turut mendakwa Dr Mahathir selalu memberi tekanan kepada beliau untuk menyokong projek-projek kroni Ahli Parlimen Langkawi itu sewaktu menjadi Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin dia (Dr Mahathir) pernah tekan Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) untuk sokong saya tapi masalahnya ialah selepas saya jadi PM, Tun asyik tekan saya untuk sokong projek-projek kroni kamu juga.

“Bila saya tolak, Tun meroyan pula dan mula mencorak langkah untuk berkomplot dengan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk jatuhkan saya pada tahun 2014 sebelum 1MDB menjadi isu. Anak Tun sendiri yang mengaku ini di mahkamah dan kantoikan kamu serta Muhyiddin,” tulis Najib.

Sebelum ini, dalam surat pertama Dr Mahathir, beliau menasihatkan rakyat Johor supaya tidak mengambil ringan mengenai PRN Johor, selain berpandangan ia akan memberi kesan besar kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau mendakwa, calon yang bertanding di atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan memberi kekuatan kepada kluster mahkamah dan kleptokrat, walaupun kumpulan terbabit tidak bertanding pada PRN Johor.

"Rakyat Johor telah menolak calon UMNO dan BN pada PRU14 lalu kerana mereka tidak mahu bertindak dan mendesak Datuk Seri Najib Razak untuk melepaskan jawatan, sebaliknya terus mempertahankannya.

"Kali ini, mereka masih lagi mempertahan kleptokrat. Kerana itu parti saya, Pejuang menyertai PRN Johor dan akan berusaha menyekat kleptokrat dan kluster mahkamah mencapai perancangan mereka," katanya.

Susulan daripada itu, Najib memberi respon terhadap surat tersebut dengan mengatakan bahawa Dr Mahathir kembali meratib nama beliau selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

“Eh.. dia kembali ratib nama saya dah. Maksudnya dia dah benar-benar dah pulih tu. Terbaik! Semoga ALLAH kurniakan kesihatan yang baik pada Tun Mahathir dan ALLAH permudahkan semua urusan beliau,” katanya dalam satu hantaran di Facebook milik beliau.