Bayau tawan Helaz Kenjoh XCO 2.0 Challenge

Aksi Fauzan ketika menjuarai Terbuka Lelaki Elit Helaz Kenjoh XCO 2.0 Challenge di Dungun pada Ahad.
Aksi Fauzan ketika menjuarai Terbuka Lelaki Elit Helaz Kenjoh XCO 2.0 Challenge di Dungun pada Ahad.
A
A
A

PELUMBA berpengalaman negara, Muhammad Fauzan Ahmad Lufti terus membuktikan kejaguhannya apabila muncul juara kategori Terbuka Lelaki Elit Helaz Kenjoh XCO 2.0 Challenge di Bukit Chatok XCO Trail, Dungun, Terengganu pada Ahad.

Bertarung atas nama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Muhammad Fauzan menang tipis dengan perbezaan 17 saat ke atas dua pencabar terdekatnya - Ahmad Syazrin Awang Ilah dan Zulfikri Zulkifli dengan kedua-duanya mewakili Helaz Terengganu.

Muhammad Fauzan yang lebih dikenali dengan panggilan Bayau merakamkan masa 52 minit 28 saat (s) ketika melintasi garisan penamat, sekali gus membolehkannya membawa pulang hadiah bernilai RM5,000.

Setiausaha Agung Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Ashakari Abu Noor menjelaskan kemenangan Muhammad Fauzan cukup mengesankan kerana kedua-dua pelumba Helaz Terengganu itu tampak dominan.

“Apatah lagi sebelum ini Zulfikri telah menewaskan Fauzan dalam kategori Champion of Champions (COC). Namun, Fauzan membuktikan bijak memanfaatkan pengalaman dan kudrat yang ada,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Kategori terbuka wanita pula dimenangi pelumba AGPG, Nur Deena Safia Nur Effandy dengan catatan masa 40:05s - diekori tonggak MSN Perak, Nur Assyira Zainal Abidin dan Eddyna Nasuha Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Ashakari memuji usaha syarikat swasta, Helaz Bike Shop yang berpangkalan di Melaka kerana sanggup berbelanja besar demi pembangunan sukan berbasikal.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Helaz Bike Shop kerana sanggup berkorban wang ringgit kerana ingin menyemarakkan pembangunan sukan basikal bukit (mountain bike).

Artikel Berkaitan:

“Bukan mudah nak keluarkan wang puluhan ribu. Saya ingin ucapkan terima kerana usaha Helaz Bike Shop boleh membantu PKBM mengenal pasti bakat-bakat baru untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Dalam pada itu, pemilik Helaz Bike Shop, Datuk Nurazizie Hezal berterima kasih kepada PKBM kerana memberi kepercayaan kepada syarikat berkenaan untuk memperkasakan sukan basikal bukit.

“Ini ialah siri awal. Kami pilih Bukit Chatok XCO Trail kerana laluan yang mencabar. Selepas ini akan ada beberapa siri kejohanan lagi. Saya berharap usaha ini akan mencetuskan minat dan mampu mencungkil bakat-bakat baharu,” ujarnya.