FAM perlu cari jalan tingkat prestasi bola sepak

Ahmad Faizal (tengah) bersama pasukan yang menjuarai Kejohanan Bola Sepak Peja Trophy 2022 Peringkat DUN Chenderiang di Kompleks Sukan Batang Padang di sini pada Ahad.
Ahmad Faizal (tengah) bersama pasukan yang menjuarai Kejohanan Bola Sepak Peja Trophy 2022 Peringkat DUN Chenderiang di Kompleks Sukan Batang Padang di sini pada Ahad.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mencari solusi terbaik bagi meningkatkan prestasi pemain bola sepak negara susulan kekalahan mengejutkan skuad B-23 negara kepada Laos, Jumaat lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kekalahan 1-2 kepada pasukan yang dianggap terkebelakang itu membuktikan sesuatu perlu dilakukan untuk meningkatkan prestasi dan mutu permainan skuad negara.

"Saya harap FAM cari jalan dan perlu bekerjasama rapat bersama komuniti bola sepak di seluruh negara untuk mencari jalan bagaimana mahu meningkatkan prestasi pasukan kita.

"Dari segi permulaan bagaimana nak bangunkan bakat baharu sehingga kita berjaya menubuhkan pasukan yang mempunyai kualiti dari segi permainan, semangat kerja sepasukan dan sebagainya.

"Langkah ini untuk memastikan kita tidak lagi tewas kepada pasukan-pasukan yang sebelum ini kita anggap sebagai pasukan belasahan," katanya pada sidang akhbar sempena perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Peja Trophy 2022 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang di Kompleks Sukan Batang Padang di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau mengakui, kekalahan skuad negara pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Kejohanan AFF B23 2022 di Stadium Prince, Kemboja itu adalah sesuatu yang mengecewakan.

Katanya, meskipun kekalahan itu terpaksa diterima, namun penilaian dan 'post mortem' yang sewajarnya perlu dilakukan dengan pendekatan lebih serius diambil oleh semua pihak terlibat.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faizal (kanan) ketika hadir menyaksikan Kejohanan Bola Sepak Peja Trophy 2022 Peringkat DUN Chenderiang di Kompleks Sukan Batang Padang di sini pada Ahad.
Ahmad Faizal (kanan) ketika hadir menyaksikan Kejohanan Bola Sepak Peja Trophy 2022 Peringkat DUN Chenderiang di Kompleks Sukan Batang Padang di sini pada Ahad.

"Sukan bola sepak adalah sukan yang amat popular di negara kita dan sebilangan besar rakyat kita meminati sukan ini dan bermain.

"Apabila mana-mana pasukan kebangsaan kita menyertai kejohanan antarabangsa dan tewas, sudah tentu kita rasa kecewa, kita nampak agak lemah dan terkebelakang," katanya.

Malaysia yang menampilkan persembahan goyah dalam perlawanan sulung kumpulan B itu gagal menyempurnakan deretan peluang terhidang hingga membenarkan Laos bangkit pada babak kedua untuk mengutip tiga mata berharga.

Malaysia tiada pilihan apabila perlu menang pada aksi kedua kumpulan Isnin ini untuk mencerahkan peluang ke peringkat separuh akhir.

Saingan dalam kumpulan B hanya membabitkan Malaysia dan Laos selepas Myanmar dan Indonesia menarik diri daripada kejohanan susulan penularan Covid-19 dalam pasukan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang berharap, lebih banyak kolaboratif dilakukan antara kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi penganjuran kejohanan sukan di peringkat akar umbi.

Jelas beliau, seperti penganjuran Kejohanan Bola Sepak Peja Trophy itu mendapat penyertaan daripada 36 pasukan membuktikan sambutan baik masyarakat terhadap aktiviti sukan.

"Saya harap program sebegini akan terus di anjurkan dan tentunya orang ramai dapat ambil bahagian, ini akan menggalakkan rakyat menjalani hidup cergas dan aktif," katanya.