Seorang ditahan, enam masih diburu kes kekecohan di hospital

Seorang lelaki ditahan manakala enam masih diburu berhubung kekecohan yang berlaku di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun. (Gambar kecil: Yahaya)
Seorang lelaki ditahan manakala enam masih diburu berhubung kekecohan yang berlaku di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun. (Gambar kecil: Yahaya)
A
A
A

IPOH - Polis telah menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam pergaduhan sekumpulan individu hingga menimbulkan kekecohan di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek berusia lingkungan 20-an itu ditahan di tempat letak kereta Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab sekitar jam 11.50 malam pada Sabtu.

Menurutnya, penahanan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu dilakukan susulan satu laporan polis yang diterima Balai Polis Sungai Senam berkaitan kejadian itu.

"Lelaki terbabit direman selama empat hari sehingga Rabu ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Polis kini sedang memburu enam lagi suspek yang dipercayai terlibat sama dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati, kejadian itu adalah rentetan daripada pergaduhan seorang suspek dengan ahli keluarga teman wanitanya di Jalan Sekolah Guntong dekat sini.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk usaha mengesan suspek yang masih bebas," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, perselisihan faham antara dua keluarga berkaitan isu cinta dipercayai menjadi punca yang membawa kepada kekecohan di pekarangan HRPB di sini yang videonya tular pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Kekecohan yang berlaku sekitar jam 12.20 tengah malam pada Jumaat itu melibatkan sekumpulan lelaki warga tempatan yang mahu menghantar mangsa-mangsa cedera ke hospital.