Kumpulan OKU gesa KPWKM kembalikan bayaran EPOKU

Pertubuhan OKU dan sekumpulan individu menggesa KPWKM mengembalikan bayaran insentif EPOKU yang diberikan dalam bentuk wang tunai untuk mengurangkan beban golongan itu.(Gambar hiasan) - Foto Bernama
Pertubuhan OKU dan sekumpulan individu menggesa KPWKM mengembalikan bayaran insentif EPOKU yang diberikan dalam bentuk wang tunai untuk mengurangkan beban golongan itu.(Gambar hiasan) - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Orang Kurang Upaya (OKU) dan sekumpulan individu hari ini menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) agar bayaran insentif Elaun Orang Kurang Upaya (EPOKU) diberikan semula dalam bentuk wang tunai bagi memudahkan golongan tersebut.

Dalam satu kenyataan yang disokong oleh 50 organisasi dan 118 individu, kumpulan itu melahirkan rasa kecewa dengan Projek Rintis Pembayaran Bantuan Bulanan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) secara tanpa Tunai (JKMPay) yang dilancarkan pada 9 April 2021, kerana telah menyebabkan kesukaran kepada komuniti OKU termasuk dari segi mobiliti, akses kepada kemudahan dan sistem sokongan sosial.

Menurutnya, sebelum ini EPOKU diberikan secara tunai atau dikreditkan terus ke dalam akaun penerima, namun kini penerima terlibat dalam program perintis JKMPay, menerima separuh daripada elaun itu secara tunai dan separuh lagi dikreditkan ke Kad Tanpa Tunai JMPay mereka.

Kumpulan itu berkata, senario itu telah menimbulkan kesukaran khususnya kepada OKU di kawasan luar bandar, kerana ketiadaan kedai-kedai panel JKM yang berdaftar dengan Bank Islam, ataupun dalam jumlah yang tidak mencukupi, sekali gus menyukarkan mereka menggunakan bantuan kredit melalui JKMPay itu.

"OKU yang mengalami masalah pergerakan, pengguna kerusi roda dan mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri berdepan beban dan cabaran tambahan.

"Pergerakan mereka selama ini telah pun terhad disebabkan kekurangan dalam sistem pengangkutan awam dan persekitaran sejak sekian lama dan tiada kepastian bahawa kedai-kedai berdaftar di bawah program JKMPay ada menyediakan kemudahan laluan mesra kepada OKU,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kumpulan itu menggesa KPWKM agar segera menubuhkan jawatankuasa khas terdiri daripada pemimpin OKU untuk mengkaji dan menghapuskan diskriminasi dalam pelaksanaan JKMPay, kerana sebarang keputusan perlu mengambil kira pandangan mereka sebagai pihak berkepentingan.

Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Mohd Harun pada bulan lepas berkata projek perintis JKMPay yang dimulakan di Perlis, Kedah dan Melaka sebelum diperluaskan ke negeri lain, masih di peringkat kajian sebelum dilaksanakan di seluruh negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: