Hadiah RM40,000 menanti kaki pancing di Port Dickson!

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A
PORT DICKSON - Hadiah keseluruhan bernilai RM40,200 bakal menanti pemenang Port Dickson Surfcasting Challenge 2018 yang akan diadakan pada 16 Disember ini.

Setiausaha Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) Ahmad Hashim Bakar berkata pertandingan memancing itu diadakan di sepanjang 1.2 kilometer Pantai Bagan Pinang, Batu 3, dekat sini dengan sasaran penyertaan 1,500 pemancing daripada seluruh negara.

Beliau berkata program itu bertujuan memperkenalkan pantai perkelahan berkenaan sebagai tempat pertandingan memancing bertaraf nasional selain mempromosikan ia sebagai pantai peranginan pilihan pelancong.

“Peserta akan dikenakan yuran penyertaan RM60 bagi setiap satu joran dan pendaftaran awal boleh dibuat secara online dan di kaunter MPPD. Peserta dibenarkan mendaftar lebih daripada satu joran, dan kami mengalakkan penyertaan berkeluarga sempena musim cuti persekolahan ini. Had umur minimum ditetapkan ialah 10 tahun dengan syarat peserta mestilah ditemani keluarga," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Pertandingan itu menawarkan wang tunai RM20,000 bagi juara, RM6,000 untuk naib juara, RM3,000 bagi pemenang tempat ketiga, RM1,000 pemenang tempat keempat dan tempat kelima, RM700.
Artikel Berkaitan:


Bagi pemenang tempat keenam hingga ke 10, masing-masing akan menerima wang tunai RM300 manakala pemenang ke 11 hingga 50, masing-masing wang tunai RM200.

Ahmad Hashim berkata, selain wang tunai, para peserta juga berpeluang merebut pelbagai hadiah menarik menerusi cabutan bonanza sebuah televisyen LED bersaiz 60 inci yang bernilai RM5,000, cabutan bertuah untuk empat unit televisyen LED 32 inci, 15 unit barangan jenama Igloo dan hamper.

Acara yang bermula pada pukul 10.30 pagi sehingga 2.30 petang itu merupakan kerjasama antara MPPD dengan Wakjali Event Management, Koperasi Kakitangan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Berhad (KOPPEMA) dan Tourism Malaysia. - Bernama