Ali Puteh mahu buat rayuan di Mahkamah Tinggi

Ali Puteh - Foto Instagram aliputeh_official
Ali Puteh - Foto Instagram aliputeh_official
A
A
A

KUALA LUMPUR – “Saya sudah bersedia dengan keputusan kes, sebab saya tahu kalah kena maki, menang pun kena maki,” kata Ali Puteh di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Ali Puteh, 34, atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkata, dia sudah lali dengan makian daripada netizen ekoran kontroversi antara keluarganya dengan kakak ipar, Siti Nor Hidayah Mohd Ali, 30.

"Sepanjang dua tahun ini, saya sudah lali dengan situasi tersebut dan tidak mahu membuat kenyataan yang boleh mengundang lebih banyak kecaman," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selepas berbincang dengan peguam, dia dan keluarga akan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi.

Meskipun gagal dalam saman fitnah, Ali Puteh berkata, mereka menghormati keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam, Noorazmir Zakaria yang mewakili Ali Puteh berkata, rayuan akan dibuat dalam masa 14 hari.

“Kita menunggu penghakiman secara bertulis kerana kita mahu lihat dari mana hakim membuat keputusan dan kami akan menilai semula hujahan di peringkat rayuan kelak.

“Apa pun kami hormat dengan keputusan itu dan akan menggunakan hak untuk merayu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah Sesyen pada Jumaat memerintahkan Ali Puteh membayar RM60,000 kepada Siti Nor Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan di Instagram dua tahun lalu.

Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah telah memfailkan saman fitnah terhadap Ali Puteh berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu di akaun Instagramnya yang antara lain menggambarkan dirinya seorang yang tidak bertanggungjawab.

Wanita terbabit memohon ganti rugi am, teladan atau punitif dan teruk yang tidak dinyatakan jumlahnya.

Dia juga memohon satu perintah injunksi bagi menghalang adik iparnya menyiarkan sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya, kod dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sepanjang keputusan dibaca, Siti Nor Hidayah dilihat menundukkan kepala dan mengalirkan air mata.

Isteri Allahyarham Abam Bocey itu juga melakukan sujud syukur di galeri awam, selepas prosiding selesai.

"Saya maafkan semua apa yang orang kata pada Dayah.

“Terima kasih kerana sentiasa mendoakan saya dengan anak, saya bersyukur sangat-sangat sebab hari ini pun hari Jumaat, memang saya bersyukur,” katanya yang turut berkongsi berita gembira itu menerusi Instagramnya.

Siti Nor Hidayah berkata, dia bersyukur kerana mahkamah memutuskan kemenangan kepadanya serta mengucapkan terima kasih kepada peguam, ibu bapa, anak tunggal, adik-beradik, keluarga dan rakyat Malaysia.