[VIDEO] Wanita larikan kereta, rempuh kenderaan lain ditahan

Suspek ditahan oleh orang awam selepas kereta yang dilarikan tersebut terlibat dalam kemalangan.
Suspek ditahan oleh orang awam selepas kereta yang dilarikan tersebut terlibat dalam kemalangan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita ditahan selepas melarikan sebuah kereta dan merempuh beberapa kenderaan lain di lampu isyarat Setapak Central di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, wanita berusia 39 tahun itu pada mulanya ditahan oleh orang awam dan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, siasatan mendapati dalam kejadian sekitar jam 2.30 petang itu, suspek melarikan sebuah Honda City yang ditinggalkan dengan enjin masih hidup di Kolej Vokasional Setapak.

"Mangsa bersama isterinya turun dari kenderaan tersebut untuk mengangkat barang anak mereka yang berada di kolej berkenaan.

"Kemudian mangsa mendapati keretanya telah dibawa lari oleh suspek seorang perempuan bangsa tidak pasti menghala ke pusat bandar," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa kemudian meminjam motosikal milik pengawal keselamatan di situ untuk membuat laporan polis.

"Setibanya di lampu isyarat hadapan Setapak Central, mangsa mendapati keretanya mengalami kemalangan.

"Mangsa mendapati suspek telah ditahan oleh orang awam dan kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihak polis masih menyiasat motif suspek melarikan kenderaan tersebut dan keputusan ujian saringan air kencing sedang dijalankan.

"Hasil semakan mendapati suspek yang berusia 39 tahun mempunyai 14 rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

"Suspek akan disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu atau menunggang dengan gopoh di jalan awam,"ujarnya.

Satu video berdurasi satu 1 minit 31 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial.