Tiga kakitangan stesen minyak dipanggil beri keterangan

 Aidi Sham
Aidi Sham
A
A
A

SEREMBAN - Polis memanggil dua lelaki yang bekerja sebagai pembantu pam dan seorang kerani wanita di sebuah stesen minyak di Lukut, Port Dickson dekat sini pada Khamis bagi membantu siasatan kes samun melibatkan pemilik kedai emas pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, keterangan oleh seorang kakitangan kedai emas juga telah dirakam pada Rabu berhubung kes terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal pihaknya mendapati tiada unsur penglibatan orang dalam terlibat dalam kes ini setakat ini.

"Tiada bukti menjurus ada orang dalam, ia lebih kepada penjenayah yang dipercayai mengekori mangsa sejak dari awal dan mangsa tidak menyedari telah diekori. Pegawai forensik juga sedang menyiasat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) diperolehi daripada stesen minyak berkenaan.

"Polis kini masih giat memburu suspek dan kesemua mereka dipercayai bukan berasal dari Negeri Sembilan, sebuah lagi kereta digunakan suspek juga masih disiasat sama ada kereta dicuri atau tidak,” katanya pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira 10.15 pagi Rabu, seorang pemilik kedai emas berusia 50 tahun berdepan detik cemas apabila disamun lima lelaki bersenjatakan parang ketika berhenti untuk mengisi minyak kereta di stesen minyak di Lukut.

Suspek yang menaiki dua kereta jenis Mitsubishi ASX dan Honda CRV itu sempat mengambil tiga beg berisi barang kemas, sebuah telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi milik mangsa sebelum melarikan diri, namun dua beg berjaya ditemukan dalam kereta Honda CRV yang terbabas di bahu jalan.

Aidi Sham berkata, dua beg berisi barang kemas ditemukan itu dianggarkan bernilai lebih sejuta manakala sebuah lagi beg yang dilarikan berjumlah RM500,000.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, orang awam atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat Inspektor Fatiha Nur Hamidus di talian 013-621 7365 atau hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson 06-6462999 untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - Bernama