Janji Manny Pacquiao

Pacquiao dijangka meraih sokongan pengundi berpendapatan rendah di Manila. - Foto: Agensi
Pacquiao dijangka meraih sokongan pengundi berpendapatan rendah di Manila. - Foto: Agensi
A
A
A

MANILA - Ikon tinju Filipina, Manny Pacquiao menyokong siasatan antarabangsa ke atas kempen antidadah dilancarkan pentadbiran Presiden Rodrigo Duterte jika dilantik mengambil alih tampuk kepimpinan negara itu.

Calon presiden itu turut berjanji memerangi narkotik dengan cara yang betul menerusi proses sewajarnya dan tidak mengikut kaedah ‘tembak mati’ yang digunakan Duterte hingga mengundang kecaman kumpulan hak asasi manusia.

“Saya juga bersedia menyertai semula Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC),” ujar bekas sekutu rapat Duterte itu selepas pemimpin tersebut menarik diri secara unilateral daripada tribunal antarabangsa berkenaan pada 2018.

Ketika ini, Pacquiao yang mendapat julukan Pacman berusaha mahu membezakan pendiriannya dengan Duterte dengan menyatakan beliau akan meneruskan kempen antidadah berlandaskan pendekatan lebih tepat dengan memberi perbicaraan yang adil dan peluang kepada suspek menjalani pemulihan.

“Apabila bercakap tentang cara yang betul, kami tidak akan sewenang-wenangnya menembak mati mereka. Golongan itu akan diberikan hak untuk membela diri di mahkamah.

“Saya percaya telah berlaku pembunuhan di luar undang-undang. Kita sepatutnya memberi pembelaan kepada mereka,” jelasnya lagi.

Difahamkan, hubungan penyandang senator itu dengan Duterte mula dingin selepas beliau mempersoalkan pendekatan digunakan presiden tersebut dalam mempertahankan kedaulatan maritim malah Pacquiao menyelar keengganan pemimpin berkenaan untuk berkonfrontasi dengan China.

Kaji selidik terbaharu yang dilakukan menjelang Pilihan Raya Presiden pada Mei depan mendapati Pacquiao ketinggalan lebih 50 mata di belakang calon pilihan ramai, Ferdinand Marcos Jr. - Agensi

Artikel Berkaitan: