Polis tahan lima lelaki terlibat kes tetak di Benut

Sebuah kereta dan dua daripada lima suspek yang ditahan untuk membantu siasatan kes tetak seorang lelaki di pekan Benut, Pontian, pada Isnin.
Sebuah kereta dan dua daripada lima suspek yang ditahan untuk membantu siasatan kes tetak seorang lelaki di pekan Benut, Pontian, pada Isnin.
A
A
A

PONTIAN - Polis menahan lima suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian menetak tangan seorang lelaki di sebuah restoran di pekan Benut di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, kelima-lima suspek lelaki itu berjaya ditahan dalam tempoh 48 jam di tiga lokasi berasingan di daerah ini dan Batu Pahat.

"Tangkapan pertama melibatkan dua suspek dilakukan di tepi jalan di bandar Pontian pada jam 10 pagi semalam (Selasa) bersama-sama kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna putih.

"Siasatan lanjut oleh polis membawa kepada penahanan dua lagi lelaki pada jam 12.15 tengah malam tadi di Pekan Yong Peng, Batu Pahat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam kejadian pada Isnin, seorang lelaki mengalami kecederaan parah di tangan kanan apabila ditetak di sebuah restoran di pekan itu oleh dua lelaki yang menaiki kereta Toyota Alphard berwarna putih.

Bagaimanapun ketika pasukan polis tiba di lokasi kejadian, mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dihantar ke hospital dan semakan nombor pendaftaran kenderaan mewah tersebut adalah palsu.

Mengulas lanjut, Mohammad Shofee berkata, seorang lagi lelaki ditahan di Benut pada jam 6.30 pagi Rabu, menjadikan kesemua lima suspek terlibat dengan kejadian tersebut berjaya ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, kelima-lima suspek yang ditahan berusia antara 21 hingga 53 tahun dengan dua daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau.

Artikel Berkaitan:

"Turut dirampas tiga bilah pedang yang digunakan dalam kejadian tersebut dan mereka telah ditahan reman selama enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Jelas beliau, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.

Mohammad Shofee turut menghargai bantuan orang awam serta saksi-saksi yang melihat kejadian tersebut sehingga suspek berjaya ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pontian dalam masa singkat.