Laos mula beri vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak

Sejumlah 957,000 kanak-kanak berusia 6 hingga 11 tahun di Laos akan menerima suntikan vaksin Covid-19. - Foto 123RF
Sejumlah 957,000 kanak-kanak berusia 6 hingga 11 tahun di Laos akan menerima suntikan vaksin Covid-19. - Foto 123RF
A
A
A

VIENTIANE - Kerajaan Laos pada Mac mula melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 11 tahun dalam usaha menjamin keselamatan pelajar selaras dengan pembukaan semula sesi persekolahan, lapor Xinhua, memetik media tempatan.

Akhbar tempatan Vientiane Times pada Rabu memetik kenyataan Timbalan Pengurus Program Imunisasi Kebangsaan, Chansai Pathammavong bahawa sejumlah 957,000 kanak-kanak akan menerima vaksin, dengan harapan menggalakkan ahli keluarga lain turut berbuat demikian.

Pemberian vaksin berkenaan akan bermula di Vientiane, tetapi wilayah lain yang sudah bersedia melancarkan program itu boleh meneruskan imunisasi, kata Chansai.

Vaksinasi terhadap kanak-kanak hanya diberikan sekiranya mendapat kebenaran ibu bapa dan penjaga.

Kementerian akan merangka pelan vaksinasi manakala Kementerian Pendidikan dan Sukan pula mempromosikan mengenai kepentingan vaksinasi kanak-kanak.

Kementerian Kesihatan turut mengarahkan pihak berkuasa tempatan dan pegawai kesihatan mengkaji kemajuan dalam pemberian vaksin dalam kalangan remaja berumur 12 hingga 17 tahun dan memastikan suntikan diberikan kepada mereka yang masih belum menerimanya.

Setakat ini, 65.74 peratus daripada rakyatnya telah menerima suntikan pertama, manakala 57.86 peratus telah lengkap dua dos suntikan vaksin, menurut Jawatankuasa Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Pencegahan dan Kawalan COVID-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: