Permohonan Shafee gantung prosiding kes saman LHDN didengar 16 Jun

Muhammad Shafee
Muhammad Shafee
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 16 Jun ini untuk mendengar permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi menggantung prosiding kes saman berhubung cukai pendapatan berjumlah RM9.41 juta sementara menunggu penyelesaian rayuannya di Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan Malaysia.

Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili Muhammad Shafee selaku defendan berkata, permohonan itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Arief Emran Arifin pada 3.30 petang.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita selepas prosiding pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Izzah Hasan Basri pada Rabu yang turut dihadiri Peguam Hasil, Mohamad Ezmeer Zulkarnaen Asnizar mewakili Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selaku plaintif.

Muhammad Shafee memfailkan permohonan itu pada 3 November 2021 antara lain memohon perintah supaya prosiding itu digantung sementara menunggu permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin untuk mendapatkan kebenaran merayu berhubung pembayaran cukai pendapatan masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN, diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Muhammad Shafee turut memberikan alasan bahawa beliau telah memfailkan notis rayuan terhadap notis taksiran tambahan bagi tahun 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 kepada LHDN pada 27 Jun 2019 selain wujud keadaan istimewa untuk menggantung prosiding itu.

Pada 27 September tahun lepas, LHDN memohon supaya kes saman terhadap Muhammad Shafee diputuskan melalui penghakiman terus atas alasan antaranya defendan gagal membayar keseluruhan tunggakan cukai pendapatan dan kenaikan cukai yang dikenakan ke atas beliau berjumlah RM9,414,708.32 dalam tempoh yang ditetapkan.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah memutuskan kes melalui afidavit dan hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

LHDN memfailkan saman itu pada 6 Mei tahun lepas mendakwa sehingga kini, peguam tersebut masih gagal membayar amaun cukai pendapatan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016 termasuk kenaikan yang dikenakan.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee merupakan peguam Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib serta dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada LHDN. - Bernama