[VIDEO] PRN Johor medan 'kuburkan' UMNO, BN

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan menjadi medan untuk 'membunuh dan menguburkan' Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan parti itu, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Sebaliknya kata Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, PRN Johor akan menjadi kubur untuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) malah lebih menarik UMNO akan berkubur di negeri kelahiran parti itu sendiri.

"Kita faham bahawa kehendak UMNO adalah kuburkan Bersatu di negeri Johor tetapi di peringkat kita pula, kita nak UMNO dikuburkan di mana parti itu dilahirkan.

"Apa yang UMNO lakukan ketika ini adalah 'character assassination' (pembunuhan karakter) disebabkan presiden mereka seorang yang diragui kredibiliti, yang sedang menghadapi pelbagai kes mahkamah dalam keadaan tak ada pilihan, itulah presidennya yang dia ada.

"Mereka terpaksa pastikan presiden parti lain juga dianggap tidak bersih. Jadi saya tidak peliklah UMNO dan BN ini, strateginya ke arah 'character assassination' sebab tiada pilihan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di DCM Hall, Taman Universiti, di sini, pada malam Selasa.

Wan Saiful mengulas mengenai dakwaan UMNO akan menjadikan PRN Johor sebagai medan untuk Muhyiddin dan Bersatu berkubur.

Katanya, tindakan pembunuhan karakter yang dilakukan UMNO itu adalah tindakan terdesak kerana Muhyiddin mempunyai rekod bersih.

Artikel Berkaitan:

"Macam saya cakap dalam ceramah saya tadi, kalau ditampal gambar (Datuk Seri Dr) Zahid Hamidi dengan Tan Sri (Muhyiddin Yassin), saya rasa orang akan gelak bila buat perbandingan itu.

"Jadi ini peluang kita dan ini peluang rakyat untuk menunjukkan pada UMNO yang sudah tu sudahlah. Kita dalam Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) fokus untuk pastikan perkhidmatan yang terbaik," katanya.

Beliau berkata, rakyat menolak parti atau gabungan yang diragui integritinya dan tidak mahu kerajaan yang hanya tahu membina kekayaan untuk diri dan keluarga mereka.

Disebabkan itu katanya, rakyat perlu menolak UMNO dan BN dalam PRN Johor dengan mengundi PN untuk sebuah kerajaan yang bersih, amanah dan mempunyai integriti demi masa depan mereka.

@sinarharianonline Apa pun, pilihan di tangan rakyat Johor #fyp#TikTokNews#BuletinTikTok#ViralNewsTikTok#JohorPilihSiapa#MehOrangJoho original sound - Sinar Harian