EMM 2.0 dijangka tingkatkan hasil padi menjelang 2026

Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) mendengar penerangan mengenai peralatan yang digunakan dalam program EMM 2.0 di Kampung Asam Jawa di sini pada Selasa.
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) mendengar penerangan mengenai peralatan yang digunakan dalam program EMM 2.0 di Kampung Asam Jawa di sini pada Selasa.
A
A
A

PENDANG - Program Model Pengurusan Estet Padi (EMM) 2.0 yang dilaksanakan di Kampung Asam Jawa di sini disasarkan dapat meningkatkan purata hasil padi sehingga lapan tan per hektar bagi kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menjelang 2026.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, purata hasil padi pada musim lepas di bawah program terbabit merekodkan hampir 4.7 tan per hektar.

Katanya, program yang menggunakan Sistem Pertanian Pintar (SPP) itu diharapkan dapat diperluaskan ke semua kawasan MADA di seluruh negeri Kedah.

"Program EMM 2.0 dilaksanakan di Kampung Asam Jawa, Pendang pada tahun 2020 sebagai kesinambungan daripada kejayaan Program EMM 1.0 yang diperkenalkan pada 2011.

"Ia melibatkan keluasan tanah seluas 64 hektar dan dikendalikan syarikat tempatan yang melibatkan penggunaan Internet Pelbagai Benda dan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0)," katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan tapak Projek Estate Management Model (EMM) 2.0 di Kampung Asam Jawa di sini pada Selasa.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dalam satu kenyataan memaklumkan Program EMM 2.0 mampu meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil tanaman padi sekali gus meningkatkan produktiviti pesawah di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menjelang tahun 2026.

"Program EMM 2.0 merupakan inisiatif strategik di bawah NCIA Agribio Economic Zone (NAEZ) yang melibatkan dua kawasan yang lebih besar iaitu Transkrian Agri Hub dan Chuping-Bukit Kayu Hitam Agri Belt.

"Program ini dijangka dapat memberikan impak yang besar kepada agenda sekuriti makanan nasional dan juga memberi impak pada B40 dalam usaha meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi rakyat di NCER," katanya.

Artikel Berkaitan: