Lelaki ditetak sebelum dibakar

Mayat seorang lelaki ditetak sebelum dibakar ditemui di sebuah bangunan terbiar di Simpang Kuala, pada Selasa.
Mayat seorang lelaki ditetak sebelum dibakar ditemui di sebuah bangunan terbiar di Simpang Kuala, pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki maut dipercayai ditetak sebelum dibakar dalam satu kejadian di sebuah bangunan panggung wayang terbiar di Simpang Kuala, di sini pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G Suresh Kumar berkata, mangsa dianggarkan berusia lingkungan 50-an dipercayai dibunuh antara jam 6.30 hingga 7 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat kesan tetakan pada bahagian tangan dan muka mangsa sebelum lelaki itu turut dibakar di sebuah bilik di tingkat satu bangunan berkenaan.

“Kemungkinan besar individu melakukan pembunuhan ini ingin pastikan si mangsa mati.

Suresh Kumar (tengah) ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sebuah bangunan terbiar di Simpang Kuala, pada Selasa.
Suresh Kumar (tengah) ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sebuah bangunan terbiar di Simpang Kuala, pada Selasa.

“Ini susulan selepas mangsa ditetak, ada punca kebakaran menggunakan tilam dan sofa yang ditelungkup ke atas badan mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Simpang Kuala, di sini pada Selasa.

Sebelum itu, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kira-kira 7 pagi berhubung kebakaran di bangunan lama berkenaan.

Anggota bomba yang memadam kebakaran kemudian menemukan mayat seorang lelaki di bawah sofa dan tilam yang terbakar.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Suresh memberitahu, identiti dan kewarganegaraan mayat lelaki berkenaan belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang terbakar.

“Berdasarkan maklumat awal, bangunan berkenaan dijadikan tempat gelandangan rehat ataupun datang waktu malam berdasarkan penemuan barangan dan pakaian,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihak polis telah menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun antara jam 9 hingga 9.15 pagi bagi membantu siasatan kejadian tersebut.

Menurut Suresh, pihaknya turut merampas sebilah pisau, namun siasatan masih di peringkat awal dan tidak boleh mengaitkan apa-apa penemuan dengan pembunuhan itu.

Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan di bangunan terbiar di Simpang Kuala, pada Selasa.
Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan di bangunan terbiar di Simpang Kuala, pada Selasa.

“Jikalau lihat pada keadaan tempat kejadian, kejadian mungkin boleh dilakukan orang seorang ataupun paling ramai dua orang atau dibantu seorang lagi,” katanya.

Namun beliau menegaskan kejadian berkenaan tidak melibatkan insiden berkumpulan ataupun memiliki elemen kongsi gelap atau sebagainya.

Jelasnya, motif pembunuhan masih dalam siasatan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk proses bedah siasat.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menyalurkan informasi kepada Ketua Polis Daerah Kota Setar.