Mohd Na’im mohon penghakiman ingkar terhadap Lokman Adam

Mohd Na'im (kiri) memfailkan penghakiman ingkar (JID) terhadap Lokman Noor Adam di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.
Mohd Na'im (kiri) memfailkan penghakiman ingkar (JID) terhadap Lokman Noor Adam di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar memfailkan penghakiman ingkar (JID) terhadap Datuk Lokman Noor Adam di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.

JID merupakan satu perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah bagi mengesahkan tuntutan yang dibuat oleh plaintif selepas defendan (individu yang disaman) gagal memasukkan kehadiran atau memfailkan pembelaan mengikut masa yang ditetapkan.

Jika defendan gagal mengemukakan pembelaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh writ saman diserahkan kepada defendan, plaintif berhak memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan JID tanpa memerlukan perbicaraan.

Ia adalah berhubung saman fitnah yang difailkan Mohd Na'im selaku plaintif terhadap Lokman Noor selaku defendan, berhubung isu dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita, termasuk seorang Datin.

Ia selepas Lokman Noor yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, gagal memasukkan pernyataan pembelaan terhadap tuntutan saman plaintif.

Perkara itu disahkan oleh peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd Na’im ketika dihubungi media.

Akberdin berkata, plaintif tidak menerima pernyataan pembelaan selepas tarikh akhir pada 11 Februari lalu, maka pihaknya memasukkan permohonan JID.

Pada 17 Januari lalu, Mohd Na'im memfailkan saman fitnah terhadap Lokman Noor dan menuntut ganti rugi sebanyak RM30 juta berhubung tujuh hantaran yang dibuat defendan antara 10 dan 14 Januari lalu di laman sosial milik defendan.

Artikel Berkaitan:

Saman tersebut difailkan melalui firma guaman, Tetuan Akberdin & Co di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini.

Hantaran tersebut antara lain mengaitkan plaintif, Mohd Na'im dengan dakwaan salah laku seksual terhadap beberapa wanita termasuk seseorang yang bergelar Datin.

Lokman Noor turut mendakwa perilaku Mohd Na'im yang tidak bermoral itu telah menyebabkan negara mengalami pelbagai musibah.

Oleh itu, plaintif memohon satu perintah agar defendan memadamkan kesemua hantaran yang dibuat di Facebook dan YouTube serta perintah injunksi bagi menghalang Lokman Noor atau ejennya daripada mengulangi kenyataan berbaur fitnah itu dalam apa jua cara sekalipun.

Mohd Na’im turut menuntut agar Lokman Noor membuat permohonan maaf dan disiarkan di laman-laman sosial milik defendan serta juga portal berita media tempatan.

Pada 6 Februari lalu, Lokman Noor telah memadam semua hantaran berunsur fitnah terhadap Mohd Na’im berhubung dakwaan gangguan seksual yang dimuat naik dalam Facebook dan YouTube.