'Doakan ayah segera ditemui'

Ahmad Yahya masih belum ditemukan setakat ini selepas dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras dipercayai kepala air ketika melalui Jambatan Telemong dekat Karak pada 18 Disember lalu.
Ahmad Yahya masih belum ditemukan setakat ini selepas dikhuatiri lemas dihanyutkan arus deras dipercayai kepala air ketika melalui Jambatan Telemong dekat Karak pada 18 Disember lalu.
A
A
A

BENTONG - Selepas hampir dua bulan, seorang pemandu lori, Mohamad Zulhelmi Ahmad, 32, dari Felda Chemomoi dekat Karak di sini buntu selepas ayahnya, Ahmad Yahya, 71, yang dikhuatiri lemas pada 18 Disember lalu masih belum ditemukan setakat Isnin.

Mohamad Zulhelmi berkata, pelbagai usaha dilakukan mereka sekeluarga selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh pihak berkuasa ditamatkan.

Anak bongsu daripada lima beradik itu juga turut mengharapkan doa rakyat Malaysia supaya ayahnya ditemui semula.

Mohamad Zulhelmi
Mohamad Zulhelmi

"Doakan supaya ayah saya segera ditemui," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dalam kejadian tersebut, warga emas terbabit dihanyutkan arus deras dipercayai kepala air dalam kejadian melibatkan lima buah kenderaan ketika melalui jambatan Telemong dekat Karak di sini.

Zulhelmi juga kehilangan ibunya, Rokiah Ismail, 69, dan kakaknya, Siti Zaitun Ahmad, 50, dalam kejadian itu, namun mayat kedua-duanya ditemui beberapa hari kemudian.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Zulhelmi bersama 13 ahli keluarga lain menaiki tiga buah kenderaan sebelum kenderaan mereka dihanyutkan arus deras.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan dalam kejadian itu, seramai 10 orang berjaya menyelamatkan diri, seorang lagi ditemukan lemas manakala lima lagi hilang.

Kejadian yang berlaku di Sungai Telemong pada 18 Disember lalu.
Kejadian yang berlaku di Sungai Telemong pada 18 Disember lalu.

Mengulas lanjut, Zulhelmi menyifatkan kejadian itu sangat menyedihkan apatah lagi nasib ayahnya belum diketahui sehingga menyebabkan mereka sekeluarga tertanya-tanya keadaan dan keberadaan ayahnya ketika ini.

"Kami sekeluarga memang berharap ayah segera ditemui tidak kira dalam apa jua bentuk," katanya.