Awas perangkap Myanmar

Skuad B-23 negara dijadualkan menentang Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B Kejuaraan AFF 2022 di Stadium Prince, Phnom Penh pada Selasa. - Foto FB FAM
Skuad B-23 negara dijadualkan menentang Myanmar dalam aksi pembukaan Kumpulan B Kejuaraan AFF 2022 di Stadium Prince, Phnom Penh pada Selasa. - Foto FB FAM
A
A
A

SKUAD Bawah 23 tahun (B-23) negara dijangka berdepan tugas sukar ketika menentang Myanmar dalam aksi sulung Kumpulan B Kejuaraan AFF 2022 di Stadium Prince, Phnom Penh, Kemboja pada Selasa.

Pengendali skuad B-23 negara, Brad Maloney berkata, Myanmar memiliki kekuatan ampuh apabila menampilkan empat hingga lima pemain yang beraksi pada Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura Disember lalu.

Malah, Maloney percaya pengendali Myanmar, Velizar Popov yang juga bekas jurulatih Kelantan mempunyai muslihat tersendiri bagi memerangkap anak-anak buahnya.

“Saya jangkakan perlawanan esok (Selasa) akan menjadi satu aksi yang sukar buat pemain kerana bagi saya, Myanmar adalah sebenarnya pasukan pilihan kali ini.

“Saya katakan demikian kerana mereka menampilkan empat hingga lima pemain yang pernah beraksi pada Piala Suzuki AFF 2020, selain beberapa pemain yang beraksi pada Sukan SEA 2019.

“Bagaimanapun, kami tetap bersedia untuk mengharungi perlawanan dengan Myanmar. Ia satu pengalaman buat ramai muka baharu kali ini,” katanya pada sidang akhbar secara maya pada Isnin.

Skuad B-23 negara kini tampil sebagai pasukan pilihan untuk mara ke peringkat separuh akhir selepas penyandang juara, Indonesia menarik diri.

Indonesia terpaksa menarik diri pada saat-saat akhir apabila sebahagian pemain skuad Garuda Muda itu dijangkiti Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurut Maloney, beliau memberikan kepercayaan kepada pemain tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohd Aiman Afif Md Afizul untuk menggalas tugas selaku kapten.

“Untuk perlawanan ini saya memilih Aiman sebagai kapten. Bagi saya, dia telah menunjukkan sikap kepimpinan sejak hari pertama bersama pasukan.

“Dia juga sudah bersama saya sejak 2019 dalam pasukan yang saya bimbing. Jadi, saya memberikan kepercayaan kepadanya untuk memimpin pasukan,” jelasnya.

Sementara itu, Aiman Aifif berkata, kepercayaan yang diberikan Maloney merupakan satu tanggungjawab besar buatnya untuk memimpin skuad B-23.

“Kami tidak boleh memandang rendah kemampuan Myanmar. Saya harap setiap pemain yang diturunkan nanti dapat memberikan aksi 100 peratus.

“Dalam setiap perlawanan, kami perlu bagi yang terbaik. Walaupun tidak pernah menentang Myanmar, saya tahu kualiti yang mereka ada, mereka cukup laju,” ujarnya.