Memilih rakan 5G dengan bijak

Foto 123rf (Gambar kecil: Azizul Hakim)
Foto 123rf (Gambar kecil: Azizul Hakim)
A
A
A

PELAKSANAAN 5G di Malaysia telah menimbulkan pertikaian daripada pelbagai pihak sejak tahun belakangan ini.

Dengan peningkatan permintaan digital dalam kalangan rakyat Malaysia berikutan perubahan gaya hidup 180 darjah yang dialami sejak Covid-19 melanda kita, kita tidak mempunyai pilihan melainkan menjadikan segalanya digital.

Bermula daripada aktiviti seperti memesan makanan sehingga mendapatkan vaksin, kesalinghubungan yang andal dan pantas telah menjadi lebih daripada sekadar kehendak, ia telah menjadi keperluan dalam kehidupan harian.

Jalinan Digital Negara (Jendela) adalah pelan kerajaan yang meletakkan batu asas bagi memperluas capaian Internet dan mengukuhkan kesalinghubungan dengan pembangunan teknologi 5G di Malaysia.

Pelaksanaan 5G akan dibangunkan oleh Digital Nasional Berhad (DNB), sebuah syarikat Kenderaan Tujuan Khas milik Kerajaan melalui Kementerian Kewangan. Ditubuhkan pada Mac 2021, DNB bertanggungjawab untuk memacu pembangunan dan penyampaian teknologi 5G.

DNB dan kaedah rangkaian pemborong tunggal (SWN) yang dicadangkan adalah alternatif baharu kepada landskap syarikat telekomunikasi nasional. Kerajaan akan bertanggungjawab membina, menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur, mengawal kualiti perkhidmatan yang disediakan dan mengawal caj bagi pengendali telekomunikasi.

Syarikat telekomunikasi tempatan pula akan memperoleh manfaat yang sama. Mereka tidak perlu lagi risau tentang kos infrastruktur berintensifkan modal dan akan memastikan keperluan dan kepentingan mereka sentiasa dipelihara dengan baik.

Pembangunan 5G bukan sahaja didebatkan di peringkat setempat bahkan ia merupakan antara 'perang halus' di peringkat global yang melibatkan kuasa-kuasa besar terutamanya dalam pertikaian teknologi yang diguna pakai untuk mereka bentuk dan membinanya.

Artikel Berkaitan:

Lebih banyak negara di dunia telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan melarang dan membatalkan kontrak pembekal mereka.

Pelaksanaan teknologi 5G di seluruh dunia adalah lebih daripada sekadar menambah baik sambungan internet.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai hubungan diplomatik yang kukuh dan sangat bergantung pada hubungan perdagangan dengan negara lain, pilihan penyedia adalah elemen utama dalam mengekalkan kemampanan ekonomi kita.

Ketika negara meneruskan pemulihan ekonominya, kita perlu meningkatkan keyakinan pelabur, membina semula reputasi kita sebagai rakan dagangan yang boleh dipercayai, dan mematuhi tadbir urus, ketelusan dan pematuhan tertinggi.

Kerajaan perlu tegas dan jelas mengenai hala tuju 5G. Sebarang ketidakpastian akan mengganggu gugat pembangunan dan jalan pemulihan ekonomi serta menjejaskan reputasi negara.

Di samping itu, dalam perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 dan Internet Benda (IoT), setiap peranti dan aktiviti di Malaysia akan disambungkan melalui 5G.

Oleh itu, Malaysia perlu bijak memilih rakan kongsi dan melindungi rakyat daripada pemerolehan keselamatan digital.

Kemelut 5G yang telah berlaku di peringkat global, dan tempatan ini amat menarik untuk terus diperhatikan.

Di Malaysia, gelagat syarikat telekomunikasi yang sentiasa mengutamakan untung serta kemaruk wang besar kelihatan sangat patuh dengan perancangan sedia ada biarpun ada yang cuba mengintai saiz 'pelaburan' 5G yang kelihatan besar yang dimiliki DNB.

Namun ini bukan persaingan tempatan sahaja, ini melibatkan soal kedaulatan negara.

Oleh itu, kita harus belajar mengemudi kapal kita antara pasang surut kuasa global, terutamanya dalam kuasa 5G.

* Azizul Hakim Abdul Aziz merupakan seorang penganalisis politik