Keabsahan nikah guna khidmat sindiket, ejen diragui: Ahmad Marzuk

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA KRAI - Pernikahan di kawasan sempadan yang menggunakan khidmat sindiket atau ejen diragui keabsahannya oleh kerajaan sekali gus boleh memberikan kesan tidak baik kepada pasangan terlibat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, keabsahan perkahwinan itu akan mempengaruhi semua aspek berkait hukum syarak termasuklah pendaftaran anak-anak pada masa hadapan.

"Nasihat saya elakkan berkahwin menggunakan khidmat sindiket atau ejen sebaliknya pilihlah cara yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan supaya tidak berbangkit isu atau masalah di masa akan datang," katanya selepas menyampaikan sumbangan Program Jom Ke Sekolah 2022 Kawasan Kuala Krai di Dewan Majlis Daerah Dabong, Manek Urai Baru di sini pada Isnin.

Hadir sama Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manek Urai, Fauzi Mohamad.

Menurutnya, Malaysia sudah mempunyai undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah lengkap berkait dengan urusan perkahwinan.

Ahmad Marzuk (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada pelajar asnaf pada Majlis Sumbangan Program Jom Ke Sekolah 2022 Kawasan Kuala Krai di Dewan Majlis Daerah Dabong, Manek Urai Baru, Kuala Krai pada Isnin.
Ahmad Marzuk (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah kepada pelajar asnaf pada Majlis Sumbangan Program Jom Ke Sekolah 2022 Kawasan Kuala Krai di Dewan Majlis Daerah Dabong, Manek Urai Baru, Kuala Krai pada Isnin.

"Tiada keperluan buat rakyat negara ini untuk menggunakan khidmat sindiket perkahwinan walaupun ianya mudah dan senang.

"Guna saluran mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri atau wilayah akan menjadikan ikatan itu lebih sempurna dan sah sebagaimana ditetapkan oleh syarak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Akhbar tempatan melaporkan, hanya empat hari selepas Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengesyorkan kerajaan membuka semula sempadan negara bermula 1 Mac ini, ejen-ejen nikah Siam tidak menang tangan menerima tempahan pasangan yang mahu berkahwin di Thailand.

Ejen-ejen nikah Siam di negeri ini mendakwa mereka tidak putus-putus menerima panggilan daripada pasangan termasuk dalam kalangan kenamaan bergelar Datuk yang ingin menempah slot untuk bernikah.