Remaja disyaki bunuh bayi didakwa esok

Laporan Sinar Harian pada Selasa lalu.
Laporan Sinar Harian pada Selasa lalu.
A
A
A

KEMAMAN - Remaja perempuan berusia 15 tahun yang dipercayai membunuh bayinya dijangka didakwa di Mahkamah Majistret, di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, remaja berkenaan akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas kertas siasatan kes tersebut selesai dan lengkap.

"Kita telah merujuk kertas siasatan kepada Pegawai Pendakwa Raya dan beliau bersetuju untuk pertuduhan dilakukan esok," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Menurut Hanyan, sepanjang tempoh tahanan reman selama seminggu, suspek ditempatkan di wad isolasi Hospital Kemaman bagi membolehkan pemantauan kesihatan dibuat.

Bagaimanapun katanya, kesihatan remaja tersebut yang masih berpantang dilaporkan semakin baik.

Sementara itu, Hanyan memaklumkan polis masih giat mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rogol melibatkan remaja perempuan berkenaan pada tahun lalu.

Beliau berkata, lelaki berusia 20 tahun itu dipercayai masih berada dalam Terengganu.

"Mungkin sehari dua lagi kita akan dapat menahan dia. Kita harap lelaki itu dapat tampil dan beri keterangan kepada polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selasa lalu, seorang bayi yang baharu dilahirkan ditemui meninggal dunia dengan kesan tikaman dipercayai dibunuh ibunya sendiri dalam satu kejadian di sebuah rumah di Kemaman.

Bayi lelaki yang cukup sifat itu dipercayai ditikam di bahagian dada kiri dengan objek tajam oleh suspek yang berusia 15 tahun.

Jenazah bayi tersebut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seri Bandi, di sini kira-kira jam 11.05 pagi pada Isnin.